Thursday, December 10, 2009

HIDUNG



Deria kita untuk menghidu tentunya hidung. Melalui rongga hidung juga, kita mampu untuk bernafas.Dengan bernafas,kita mampu untuk menikmati kehidupan yang dianugerahkan oleh Ilahi untuk terus sujud kepada-Nya. Lantaran, peri penting hidung dalam hidup kita, maka tidak mustahil orang tua-tua dahulu menggunakan perkataan tersebut dalam peribahasa. Bermacam-macam perkataan hidung digunakan. Antaranya:

  • Hidung belang-gemar menipu cinta perempuan
  • Hidung dicium,pipi digigit-cinta palsu
  • Hidung laksana kuntum seroja- hidung perempuan yang cantik
  • Hidung putih- sangat gemar kepada perempuan
  • Hidung seperti dasun tunggal- hidung yang mancung
  • Hidung sudah rampung diatur- sudahlah bodoh,tidak sedar pula diri diperbodoh
  • Hidung tak mancung,pipi tersorong-sorong-orang tidak sudi,kita yang hendak
  • Hidung tinggi-Sombong
Itu sahaja,peribahasa yang mampu saya senarai pada hari ini,mungkin banyak lagi perkataan tersebut digunakan. Apa-apa pun jika sudah tahu,kita harus menggunakan,agar perkataan terus kekal dalam memori jangka panjang di kotak fikiran kita. Insyaallah.

Tuesday, December 8, 2009

MATA


Bahagian anggota badan untuk melihat, tentunya mata. Mata penting dalam kehidupan kita, tanpanya kita tidak akan dapat menikmati anugerah ilahi untuk menghayati dan mengagumi kebesaran yang Esa. Lantaran itu, kali ini saya ingin mengupas perkataan mata yang terkandung dalam peribahasa. Berikut merupakan peribahasa yang menggunakan perkataan mata:

  • Mata air- kekasih
  • Mata angin-arah georafis
  • Mata batin- daya atau kebolehan memahami sesuatu tampa berfikir atau membuat secara sedar,gerak hati.
  • Mata bedil- butir pembidik pada laras senapang
  • Mata belalang belum pecah, sudah hendak membuta- hendak tidur malam terlalu awal.
  • Mata benda- barang berharga
  • Mata berkutuk,hati bersetan- orang tidak bermoral,tidak dapat membezakan antara yang buruk dan baik.
  • Mata bisul- lubang bisul
  • Mata bogel- tidak berkaca mata
  • Mata buku- ruas jari
  • Mata bulan- bulan yang nampak samar
  • Mata cemperling- mata yang merah warnanya
  • Mata cincin- permata pada cincin
  • Mata dabus- besi tajam yang digunakan dalam permainan dabus
  • Mata dacing-ukuran timbangan pada dacing
  • Mata dagangan- barang-barang dagangan
  • Mata dekat- tidak dapat melihat kalau jauh
  • Mata duitan- mementingkan wang
  • Mata duli- buku lali
  • Mata gawai- pembantu
  • Mata gelap- mengamuk oleh sebab marah
  • Mata gergaji- gerigi gergaji,orang yang memihak
  • Mata gunting-bahagian tajam pada gunting
Ini baru peribahasa yang menggunakan perkataan mata. Banyak juga daripada perkataan mata itu yang jarang-jarang diguna pakai oleh generasi masa kini. Pendek kata, banyak yang saya tidak pernah mendengarnya pun, apatah lagi untuk menggunakannya. Semoga selepas ini ada antara peribahasa tersebut akan cuba saya terapkan dalam pertuturan. Insyaallah.

Saturday, December 5, 2009

KAGUMNYA


Saya kagum sungguh dengan ketelitian masyarakat dahulu ketika mula mencipta peribahasa. Bayangkan begitu terperinci mereka mencipta peribahasa yang begitu indah dan kadangkala sukar saya gambarkan kebijaksaan yang dimiliki oleh mereka. Begitu teliti. Jika saya mengupas isu berkenaan perkataan "kepala" sahaja akan kita temukan pelbagai jenis peribahasa yang menggunakan perkataan tersebut. Contohnya

  • Kepala air - bahagian awal air banjir
  • Kepala angin - perangai tidak stabil
  • Kepala arwah - hidangan istimewa di dalam kenduri arwah
  • Kepala bahu - bahagian bahu yang bertemu dgn pangkal lengan
  • Kepala batu - degil
  • Kepala berat - bodoh
  • Kepala berita -tajuk berita
  • Kepala desa - ketua kampung
  • Kepala dingin- Tenang dan sabar
  • Kepala dua- hipokrit
  • Kepala gigi- bahagian atas gigi
  • Kepala jambatan- bahagian awal jambatan
  • Kepala kain-Bahagian kain yang lain coraknya.
  • Kepala karangan- Tajuk karangan
  • Kepala kawan- Ketua kumpulan
  • Kepala kayu-bodoh
  • Kepala ke bawah kaki ke atas- bertungkus -lumus bekerja mencari nafkah.
  • Kepala keluarga-ketua keluarga
  • Kepala keretapi- bahagian enjin lokomotif
Itu baru, perkataan kepala, bagaimana pula bahagian badan yang lain. Sama-sama kita fikirkan...hebat sungguh pemikiran masyarakat dahulu.

Friday, December 4, 2009

FIKIR-FIKIRKANLAH.........


Sejauh mana kita menyayangi bahasa kita? Adakah kita rasa rendah diri jika menggunakan bahasa kita,bahasa ibunda,yakni bahasa Melayu? Kadangkala saya rasa kecewa melihat masyarakat Melayu kurang menghargai bahasa ibundanya sendiri. Pelik tapi benar. Di mana-mana juga masyarakat Melayu suka mencampuradukkan bahasa Melayu bersama dengan bahasa Inggeris. Paling tidak pun kata ganti nama saya, automatik bertukar I atau awak,sebagai you. Itulah realiti masyarakat Melayu kini. Situasi yang paling mengecewakan apabila ramai golongan Melayu berpendidikan bertutur sesama bangsa sendiri menggunakan bahasa Inggeris. Pelik kerana mereka saling memahami bahasa Melayu. Anak jati Melayu. Saya tidak menafikan akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa terpenting dunia, namun biarlah bertempat. Jika bertemu warga asing yang tidak memahami bahasa Melayu, silakanlah bertutur dalam bahasa Inggeris. Menuntut ilmu dalam pelbagai bahasa memang digalakkan dan sangat dialu-alukan, namun gunakannya mengikut acuan budaya kita. Jangan menangis kelak, jika suatu hari nanti, bahasa Melayu antara bahasa yang akan pupus,lantaran anak bangsa yang tidak belajar menghargainya, benarlah kata pepatah "hilang bahasa, lenyaplah bangsa."

Wednesday, December 2, 2009

KESANTUNAN BERBAHASA

Masyarakat Melayu memang terkenal dengan adab dan tatasulila. Oleh sebab itu, lahir pelbagai jenis peribahasa, yang antara tujuannya ialah menjaga adab ketika bertutur. Orang-orang tua bijak menyusun kata agar setiap butir bicara tidak menyinggung hati sipendengar. Jika ingin membuat teguran sekalipun,adab berbicara tetap diutamakan. Lantaran itulah,peribahasa terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata badan binasa sentiasa diaplikasi dalam kehidupan mereka seharian. Berbeza dengan masyarakat hari ini, jika bertutur, aspek budi bahasa diletakkan ditempat terakhir. Budaya berfikir dahulu sebelum berkata sering kali diabaikan ataupun ditolak tepi.Justeru, lahirlah perkataan -perkataan kesat ataupun bergurau secara keterlaluan hingga kadang kala benar-benar menghiris hati insan yang mendengarnya. Jika dahulu, hierarki golongan berusia atau berdarjat dihormati menerusi kata-kata, kini masyarakat tidak mengambil kesah. Suatu ketika dahulu, guru antara golongan yang sangat dihormati dan kita amat berhati-hati jika bertutur dengan mereka, kini seakan-akan dipandang sebelah mata. Agak terkilan golongan ibu bapa juga bertindak dalam situasi yang sama. Benarlah kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jagalah adab ketika berbicara,jika tidak mengenang budaya, kenanglah agama yang mengajar kita jangan menyinggung hati sesiapa,jika tidak akibatnya berdosa.Sedar ataupun tidak semuanya kerana tidak menjaga kesantunan berbahasa.

Wednesday, November 25, 2009

Guru dominasi pengajaran punca pelajar kurang kreatif

Oleh Rosniza Mohd Taha
yoniza@bharian.com.my

AMALAN pengajaran dan pembelajaran (P&P) memfokus guru antara punca pelajar dihasilkan sistem pendidikan negara ini kurang memiliki kemahiran berfikir dan kreativiti. Pengerusi Lembaga Penasihat Akademi Kepimpinan Pengajian Tinggi (AKEPT), Tan Sri Dr Wan Zahid Mohd Noordin, berkata guru mendominasi proses pembelajaran dalam kelas dengan lebih banyak bercakap berbanding menggalakkan interaksi dua hala dengan pelajar.

Beliau yang juga bekas Ketua Pengarah Pelajaran, berkata pendekatan itu secara tidak langsung menghasilkan kesan tidak diingini, iaitu pelajar beranggapan guru mahu mereka mendengar saja terlebih dulu dan hanya boleh bertanya soalan apabila disuruh.Beliau berkata, pembelajaran sehala yang menjadi amalan sistem pendidikan negara sekian lama itu perlu diubah dan bukan salah guru sepenuhnya kerana mereka diletakkan dalam keadaan itu.

Keghairahan mendapat pengiktirafan sekolah terbaik, katanya, juga membuatkan guru berlumba menghabiskan sukatan pelajaran supaya ulang kaji dan latih tubi dapat dilaksanakan bagi memastikan pelajar mencapai sasaran keputusan cemerlang.
Sambil menjelaskan isu kelemahan kemahiran berfikir di kalangan pelajar termasuk yang mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan sering diketengahkan tokoh pendidik dan wakil industri, beliau berkata:

“Malah keputusan Ujian Aptitud pertama diperkenalkan Kementerian Pelajaran bagi murid Tahun Enam ketika Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) tahun ini menunjukkan hanya 5.7 peratus mempunyai kemahiran menyelesaikan masalah dan membuat keputusan, manakala 34.34 peratus mempunyai kemahiran berfikir, mengesahkan lagi perkara ini.

“Pendekatan guru memonopoli pembelajaran dalam kelas dengan mereka saja yang banyak bercakap, malah mengedarkan salinan nota disediakan seolah-olah menyempitkan gaya pemikiran pelajar. “Lebih parah apabila soalan pelajar tidak diendahkan, sekali gus tidak menggalakkan pemupukan kemahiran berfikir di kalangan pelajar.”

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucap utama bertajuk Learned Paralysis: The Unintended Consequences of the Classroom Process pada Persidangan Antarabangsa Pengajaran dan Pembelajaran Peringkat Pengajian Tinggi 2009 (ICTLHE09) di Kuala Lumpur, kelmarin. Wan Zahid berkata, dalam memastikan pelajar meraih pencapaian cemerlang akademik, seharusnya pembangunan keseluruhan potensi mereka terutama kemahiran berfikir tidak dikorbankan.

Bagi memastikan perkara itu, katanya, peneraju kepemimpinan sesebuah institusi pendidikan termasuk guru besar dan naib canselor perlu memainkan peranan utama dengan mereka sendiri arif mengenai kaedah P&P berkesan. Beliau turut memberi contoh kejayaan projek perintis dilaksana Kementerian Pelajaran pada pertengahan 1990-an dalam usaha menghasilkan perubahan dramatik pencapaian sebuah sekolah biasa hingga tersenarai antara sekolah terbaik peringkat kebangsaan. Katanya, Sekolah Menengah Jalan Bayam, Kelantan pada masa itu hanyalah sekolah biasa, malah dilabel sebagai pusat longgokan pelajar dan guru bermasalah.

“Namun, dengan inisiatif dan kreativiti guru besarnya yang diberi autonomi penuh mentadbir dengan pendekatan tersendiri, sekolah itu berjaya menjadi antara terbaik selepas lima tahun program itu dijalankan. “Antara pendekatan unik guru besar terbabit yang berjaya melonjak pencapaian sekolah adalah melaksanakan pembelajaran tanpa jadual kelas tetap.

“Selain itu, menggalakkan pelajar mendominasi proses pembelajaran dalam kelas, membabitkan mereka dalam proses penilaian guru serta menjadikan aktiviti kemasyarakatan dan sukan sebagai sebahagian program utama kokurikulum,” katanya.

Friday, October 30, 2009

Markah merit masuk IPTA

PUTRAJAYA: Mulai tahun depan, pengiraan merit untuk kemasukan ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2009 dan setaraf akan menggunakan penggredan baru.Ketua Pengarah Jabatan Pengajian Tinggi, Prof Datuk Dr Radin Umar Radin Sohadi, berkata perubahan itu selaras dengan sistem penggredan baru Kementerian Pelajaran yang memperkenalkan peringkat kelulusan A+ untuk pelajar SPM 2009 berbanding gred 1A sebelum ini. “Sistem ini diperkenalkan untuk memilih yang terbaik di kalangan terbaik bagi memasuki IPTA supaya ada perbezaan contohnya antara A+ dengan A dengan A-,” katanya.Beliau berkata, melalui sistem baru itu, pelajar yang mendapat A akan dikategorikan kepada A+, A dan A- dengan merit masing-masing 18, 16 dan 14.

Beliau berkata, gred 3B ditukar kepada B+ dengan merit 12, 4B kepada B(10), 5C kepada C+ (lapan), 6C kepada C (enam), 7D kepada D(empat), 8E kepada E (dua) dan 9G kepada G dengan merit sifar.
Bagaimanapun, Dr Radin Umar berkata, kaedah baru itu akan mengambil kira syarat khas kemasukan program pengajian seperti gred 6C (kepujian) sebelum ini, tarafnya tidak akan diturunkan ke gred lebih rendah.“Pemprosesan, pengiraan markah merit, syarat am universiti, syarat khas program pengajian serta pemilihan calon akan dilaksanakan secara dua kaedah dalam proses transisi iaitu kaedah sedia ada bagi lepasan SPM 2008 dan sebelumnya serta kaedah terkini bagi calon lepasan SPM 2009,” katanya.Beliau berkata, ini bagi memastikan peluang pelajar lepasan SPM terdahulu untuk melanjutkan pengajian ke IPTA tidak terjejas.Katanya, pelaksanaan kaedah pengiraan markah merit terkini itu akan disebarkan melalui Karnival Pengajian Tinggi Negara 2010 mulai Januari hingga Mac tahun depan di 10 zon terpilih seluruh negara.“Kementerian juga akan mengadakan taklimat kepada guru bimbingan dan kaunseling serta mengemas kini maklumat itu melalui cetakan dan agihan brosur ke Jabatan Pelajaran Negeri dan sekolah serta di laman web kementerian,” katanya. -Bernama
Sumber: Harian Metro

Monday, September 28, 2009

Tugasan Guru Membebankan?

Apabila dibincang tentang skop tugasan guru, ramai guru-guru yang mula mengeluh. Dalam mesyuarat guru yang pertama yang sering diadakan pada akhir bulan Disember, perkara pertama yang semua cikgu nak tahu ialah tentang tugasan yang bakal mereka terima pada tahun semasa. Masing-masing tak sabar-sabar nak buka buku agihan tugas. Selepas itu, akan muncullah pelbagai reaksi daripada guru-guru. Ada yang gembira, ada yang berduka, ada yang tak kisah langsung dan pendek kata macam-macam reaksi ada. Bagi yang gembira, mungkin tugas yang diberikan lebih ringan daripada tahun sebelumnya. Bagi yang berduka, tentulah beban tugas lebih banyak atau terpaksa memegang jawatan yang tidak diingini. Akan timbul pelbagai gosip, mula menyalahkan pihak pentadbiran yang tak peka terhadap kakitangan bawahan, guru baru merasakan tidak adil kerana beban tugas mereka jauh lebih banyak daripada guru senior, guru senior pula mula merasakan beban tugas semakin bertambah kerana tugasan yang diberikan lebih mencabar, termasuk menjadi setiausaha peperiksaan, ketua panitia dan sebagainya. Kalut situasi pada awal tahun. Alhamdulilah, tak pernah lagi saya dengar berlaku perang dunia antara guru dalam hal ini. Itulah kelebihan guru, kerana mereka mengamalkan etika kerja profesional. Kalau ada pun, gosip sekejap sahaja. Al maklumlah guru juga merupakan insan biasa, yang tak lepas daripada melakukan kesalahan.

Cuma, apabila menyentuh hal ini, saya merasakan semua guru harus meletakkan diri masing-masing ke dalam situasi rakan yang kita sering kritik. Kita sering menyalahkan pihak lain tetapi cuba bayangkan jika kita berada dalam situasi tanggungjawab mereka pula. Apa yang akan kita lakukan? Adakah kita akan melakukan perkara yang sama, atau sebaliknya? Berdasarkan pengalaman saya, saya dapati lazimnya perkara yang kita gemar kritik akan berlaku pula terhadap diri kita sendiri. Saya tidak pula bermaksud, bahawa kita tidak boleh mengkritik tetapi kritikan yang dilakukan hendaklah datang daripada hati yang ikhlas, ingin membantu, atau memberi kritikan yang membina. Lazimnya kritikan sebegini akan mengeratkan silaturahim sesama rakan sejawat mahupun sesama insan.

Terus terang saya katakan saya gemar dikritik daripada saya hanyut dengan kata-kata ampu orang lain, yang entahkan ikhlas, entahkan tidak. Oleh sebab itu, saya akan meminta anak didik saya memberi komen membina bagi membantu saya memantapkan lagi proses pengajaran saya. Selalunya 2 bulan sekali saya meminta mereka memberi kritikan yang mantap terhadap proses pengajaran saya. Begitu juga jika proses pencerapan hendak dilakukan, perkara pertama pertama saya pesan kepada kepada pengetua, dan ketua bidang, tolong kritik jika nampak kekurangan dalam proses pengajaran saya. Alhamdulilah saya tak pernah kecewa dan kecil hati jika mereka mengkritik saya. Memang patut pun kalau kesilapan yang kita lakukan ditegur, terima dengan hati yang terbuka.
Banyak perkara yang akan kita belajar jika kita bersedia untuk menerima pembaharuan dan perubahan. Belajarlah selagi kedua-dua mata kita tidak tertutup untuk selama-lamanya. Terima ilmu untuk diamalkan bukan untuk diketahui sahaja. Anggap tugas yang kita terima adalah sebahagian daripada proses untuk menimba ilmu. Insyaallah kita tak akan stress, malah dapat pahala daripada yang maha Esa. Oleh itu,elakkan mengganggap tugas yang diberi sebagai satu bebanan. Insyaallah, tuhan akan permudahkan jika kita benar-benar ikhlas.




Tugas Tambahan Jejas Keupayaan Guru?

Oleh Azrul Affandi Sobry


AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka.

Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Memang benar, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.

Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.

Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'.

Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.

Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.

Justeru, tak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer.

Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya. Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera.

Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah.

Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab.

Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal.

Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data.

"Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain.

"Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.

"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya.

Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar.

"Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu. Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka.

"Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini. Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.

Rahsia pelajar cemerlang

Ramai tertanya-tanya, mengapa mereka masih tidak mencapai kecemerlangan walaupun telah mentelaah mata pelajaran berjam-jam sehari?


BERDOA dan bersyukurlah dengan hasil yang diterima dalam peperiksaan kerana ia melambangkan usaha yang telah dilakukan. - Gambar hiasan


MENJADI seorang yang cemerlang adalah idaman setiap pelajar. Namun tidak ramai menyedari bahawa untuk menjadi seorang yang cemerlang, usaha bukan hanya tertumpu kepada mentelaah buku semata-mata, tetapi juga melibatkan rangkaian beberapa usaha lain.

Mungkin ramai tertanya-tanya, mengapa mereka masih tidak mencapai kecemerlangan walaupun telah mentelaah mata pelajaran berjam-jam sehari.

Pernahkah mereka terfikir bahawa usaha itu harus diselangi dengan doa, memperbaiki diri sebagai insan dan sebagainya.

Kosmo! menyenaraikan beberapa tip membentuk diri menjadi seorang pelajar yang cemerlang sekali gus membentuk diri menjadi insan yang disenangi ramai.

Sentiasa berfikiran positif

Berfikiran positif membantu pelajar membina imej yang meyakinkan, seterusnya membawa perubahan yang baik terhadap pelajaran dan kendiri. Berfikiran positif juga menjadikan pelajar sentiasa ceria dan seronok belajar. Ini boleh membantu proses pembelajaran. Namun, jangan terlebih seronok, nanti orang tersalah anggap pula. Orang yang berfikiran negatif pula mempunyai 10 kali ganda peluang mendapat sakit berbanding dengan mereka yang berfikiran positif.

Nyatakan matlamat

Sentiasa sasarkan satu matlamat sebelum melakukan sesuatu kerana mereka yang mempunyai matlamat lebih mudah mencapai kejayaan yang mereka ingini. Matlamat yang jelas dan hebat dapat membakar semangat. Pastikan matlamat yang diletakkan itu adalah satu matlamat yang membina. Namun, matlamat tanpa usaha tidak membawa erti apa-apa.

Menjaga kesihatan fizikal dan mental

Menjaga kesihatan adalah paling utama supaya pelajar berada dalam kondisi yang terbaik untuk menimba ilmu. Apabila badan dan minda berada dalam keadaan terbaik, pembelajaran akan mudah diterima. Sering bersenam dan berfikiran positif. Elakkan stres yang melampau dan sesekali cuba melakukan aktiviti riadah supaya diri dapat mencapai ketenangan yang ideal. Terlalu berfikir mengenai pembelajaran dan kejayaan juga boleh mengakibatkan minda pelajar menjadi sangat stres. Cuba elakkannya dengan mencari jalan terbaik untuk mengulang kaji pelajaran.

Menjaga pemakanan

Aspek pemakanan juga harus dititik beratkan kerana pemakanan yang seimbang penting bagi menjana pemikiran yang cerdas dan memori yang tajam.

Pelajar boleh mengingati sehingga 90 peratus bahan yang dipelajari apabila diaplikasikan ketika menjawab soalan berkaitan dengan bahan yang dibaca.


KAEDAH belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. - Gambar hiasan


Cara belajar yang baik

Belajar dengan baik tidak semestinya mentelaah dari pagi sehingga malam. Pelajar harus tahu bagaimana untuk belajar mengikut kesesuaian diri. Ada yang suka belajar secara berkumpulan dan ada yang suka bersendirian. Cari kesesuaian diri anda. Cari tempat tenang untuk belajar. Ramai pelajar suka mentelaah sambil mendengar muzik. Ia adalah perkara yang patut dielakkan kerana belajar sambil mendengar muzik mengurangkan tumpuan dan menghakis keberkatan ilmu. Kaedah belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. Tetapi cuma 20 peratus pelajar yang belajar menggunakan peta minda.

Bergaul dengan positif

Apabila seseorang mempunyai ramai kawan, maka dia akan mempunyai pandangan yang luas kerana boleh bertukar-tukar pendapat berbanding dengan mereka yang lebih suka menyendiri. Kawan boleh menegur setiap kesalahan kita kerana kita tidak dapat melihat kekurangan diri. Namun, pelajar juga harus bijak memilih kawan. Peribadi dan prestasi kita sering dipengaruhi oleh kawan-kawan. Justeru, carilah kawan yang positif dan cemerlang.

Bersyukur

Pelajar harus bersyukur dengan setiap hasil yang diterima dalam peperiksaan kerana ia melambangkan usaha yang telah dilakukan. Jangan salahkan orang lain di atas kegagalan yang kita alami. Jangan juga dengki dengan kejayaan orang lain, sebaliknya ringankan mulut untuk bertanya rahsia mereka. Dekatkan diri dengan tuhan tidak kira apa agama sekali pun. Pelajar juga harus sedia memberi bantuan kepada rakan-rakan lain dan jangan kedekut ilmu. Perbincangan satu kumpulan mampu mendapat keputusan yang terbaik.

Bersedia untuk gagal

Kegagalan adalah lumrah kehidupan. Bersedia untuk mengalaminya kerana disebalik kejayaan, pasti ada kegagalan. Jika kejayaan yang dikecapi itu adalah hasil usaha daripada kegagalan, ia akan lebih bermakna dan diingati. Belajar daripada kesilapan dan cuba cari jalan penyelesaian terbaik untuk memperbaiki kegagalan itu agar ia menjadi kejayaan.


PELAJAR yang ramai kawan akan mempunyai pandangan yang lebih luas dalam pelajaran. - Gambar hiasan


Hargai pendidik

Pendidik adalah tonggak utama kepada kejayaan seorang pelajar. Cuba tunjukkan penghargaan kepada mereka, bukan sahaja apabila anda mendapat kejayaan yang diingini tetapi juga apabila tiba hari-hari tertentu seperti Hari Guru atau hari lahir mereka. Doa pendidik sentiasa dimakbulkan tuhan. Jangan lupa juga kepada ibu bapa kita kerana anak yang derhaka tidak akan mencapai kejayaan.

Usaha yang seimbang

Akhir sekali adalah usaha. Kejayaan tidak datang begitu sahaja tanpa usaha. Namun ia harus diseimbangkan. Jika hanya berusaha mempraktikkan segala tip di atas tanpa mentelaah buku, kejayaan tidak akan dapat dikecapi. Namun, jika hanya mengadap buku tanpa usaha-usaha di atas, kejayaan juga jauh daripada genggaman.

Sumber: Kosmo

Sunday, September 27, 2009

SENTUHAN IKHLAS 4 AMANAH 09



Cikgu pun sayang kamu semua.Tak percaya?




Kenapa tidak guna Bahasa Melayu?



Hasil yang tidak mengecewakan.



Bukankah senang tidak perlu hendak siram tiap-tiap hari
mekar bertahun-tahun.



Eric Leong tengok pun mesti teruja!

MENGECAT KELAS



Bertungkus-lumus mengecat kelas 4 Amanah




Anak didikku yang amat bertanggungjawab



Suasana kelas ketika proses mengecat



Cat cepat jangan pandang kamera!


Terima kasih kerana melukis gambar bunga kegemaran cikgu 'hydrangea' atau nama Melayunya Bunga Tiga Bulan.

Saturday, September 26, 2009

He, he, he, he, he... Kejadian seram di wad ICU

SALAH sebuah katil dalam bilik ICU sebuah hospital kerap mengalami kejadian pelik. Setiap pesakit ditempatkan di situ pasti akan meninggal dunia pada setiap Jumaat pagi tanpa mengira umur, jantina atau tahap kesihatan mereka.

Perkara itu membingungkan doktor lalu mereka memutuskan untuk memantau katil berkenaan.

Pada Jumaat berikutnya, beberapa doktor bersiap sedia untuk mengenal pasti penyebab kepada kematian di katil berkenaan.

Seorang pesakit lelaki sedang tidur di katil misteri itu. Masa berputar dari jam 7 pagi, 8.30 pagi sehinggalah jam 9 pagi. Tiba-tiba pintu bilik ICU itu terbuka dan kelihatan Makcik Bedah, seorang pekerja sambilan sebagai pencuci yang hanya bertugas setiap Jumaat masuk.

Dia mendekati katil berkenaan dan terus mencabut soket elektrik yang dipasang alat bantuan pernafasan pesakit dan menggantikannya dengan plag ‘vacum cleaner'nya...

NIZA,
Shah Alam.

Burung Kakak Tua

Di sebuah kedai menjual burung ada dua ekor burung kakak tua. Kedua-dua burung itu berbeza, yang seekor suka menyanyi dan seekor lagi hanya diam.

Datang seorang lelaki ingin membeli burung kakak tua. Dia menanyakan harga kepada si penjual burung.

Pembeli: Berapa harga burung Kakak Tua ini?

Penjual: Kalau yang suka menyanyi itu RM500, yang diam tu RM1,000.

Pembeli: Ahhh...?? Kenapa yang suka menyanyi lebih murah daripada yang diam?

Penjual: Yaa...memang berbeza, yang berharga RM1,000 itu ialah pencipta lagunya.

RASHID,
Machang.

Helah Memancing

SATU petang seorang tua duduk merokok di tepi paya dengan sebatang pancing.

Orang ramai melihatnya kehairanan, ada kasihan dan ada juga ketawa.

Tiba-tiba seorang pemuda menghampirinya dan bertanya:

Lelaki: Pakcik ni memancing untuk apa?

Orang tua: Untuk makan

Lelaki: Oh...kalau macam tu.. ikut saya makan...saya belanja..

Pada mulanya orang tua itu agak malu-malu, selepas dipaksa akhirnya dia mengalah.

Sambil makan mereka berbual.

Lelaki: Pakcik memancing di paya tu ada ikan ke?

Orang tua: Oh ada.

Lelaki: Biar betul pakcik ni...dah berapa ekor dapat?

Orang tua: Kamu orang yang kelima.

TOK JAI
Serkam.

Friday, September 25, 2009

Pendekatan Modular dilaksanakan tingkatkan pembelajaran BM


Oleh Khairina Yasin ( Berita Harian)

KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan pendekatan modular dalam Kurikulum Standard Bahasa Malaysia sebagai satu daripada strategi pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) bermula 2012. Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Dasar dan Pembangunan, Kementerian Pelajaran, Dr Haili Dolhan, berkata pendekatan itu satu daripada usaha penambahbaikan kurikulum sedia ada yang lebih menekankan konsep huraian sukatan pelajaran. Menerusi pendekatan modular, katanya, kurikulum digubal dan disampaikan mengikut bahagian dan unit lengkap dengan gabungan pengetahuan, kemahiran dan nilai bersepadu yang seimbang serta holistik.

“Penambahbaikan ini dibuat bagi memastikan kurikulum BM di semua peringkat sekolah sentiasa relevan dan bersepadu bagi melahirkan insan seimbang. “Ia juga satu mekanisme mantap, bestari dan berkesan bagi memastikan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah terus kukuh,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini. Beliau menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada murid prasekolah menerusi modul penguasaan asas berbahasa dimulai dengan pradengar, prabaca dan pratulis, selain mengenal abjad serta perkataan.

Katanya, modul itu bertujuan memastikan murid mendapat asas dan landasan kukuh untuk menguasai kemahiran berbahasa merangkumi kemahiran mendengar, menulis, membaca dan bertutur dalam BM dengan baik. “Pelaksanaan secara berstruktur dan sistematik menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara berkesan diyakini dapat membantu murid memantapkan kefahaman dan penggunaan BM yang tepat. “Setiap kemahiran akan didedahkan menerusi modul masing-masing yang dibangunkan menepati keperluan penguasaan BM murid,” katanya. Selain itu, Haili berkata, elemen seni bahasa juga akan diketengahkan menerusi aplikasi kemahiran bahasa dan pendekatan didik hibur yang menyeronokkan.

Pendekatan didik hibur, katanya, akan dijelmakan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi mewujudkan proses P&P interaktif dan menyeronokkan. “Malah elemen sastera BM kontemporari kepada murid tahap dua sekolah rendah juga akan diperkenalkan sejajar dengan pelaksanaan komponen sastera BM atau Komsas di sekolah menengah sejak tahun 2000,” katanya.

JADIKAN KEMATIAN SEBAGAI MUHASABAH


SETIAP makhluk yang bernyawa pasti mati. Perkara kematian adalah pasti dan semua manusia pasti melaluinya. Mungkin sebelum ini, kita pernah mengiringi jenazah ahli keluarga, sanak saudara atau rakan. Sudah tentu suasana hiba dan penuh sayu menyelubungi setiap insan yang menghantar jenazah berkenaan ke tanah perkuburan.Yang sudah mati akan berhadapan dengan Allah, tetapi kita yang masih hidup yang mengiringi jenazah itu bagaimana? Tidakkah terlintas di sanubari menginsafi diri yang suatu ketika nanti beginilah keadaannya apabila sekujur tubuh tanpa nyawa diusung dalam keranda ke tanah perkuburan! Sepatutnya inilah detik yang membuka ruang keinsafan lalu bermuhasabah diri demi membetulkan segala dosa silam yang pernah kita lakukan. Seharusnya ketika itulah saat paling murni buat sesiapa saja yang mengiringi jenazah itu membayangkan beginilah diriku yang akan diusung apabila aku mati nanti! Alangkah indahnya jika kematian membuahkan keinsafan hakiki lalu menjernihkan lubuk hati setiap pengiring jenazah. Janganlah hendaknya timbul gelak ketawa dan suara hiruk pikuk hingga peristiwa kematian menjadi peristiwa biasa sahaja.

Janganlah kawan. Marilah kita ambil pengajarannya untuk membaik pulih diri. Ingat kawan, kematian itu datang secara tiba-tiba. Tetapi tanda dan amaran mengenai kematian sentiasa dijelmakan secara jelas dan nyata. Apa tidaknya, cuba lihat rambut kita. Cubalah lihat pada kadar penglihatan mata kita. Makin hari makin beruban. Dari sehari ke sehari semakin kabur mata kita. Bukankah itu tanda kematian kita? Jadi, kenapa perlunya menangguhkan taubat? Mengapa liat dan lalai bermuhasabah diri? Jika kita masih lalai dan seolah-olah melupakan kematian, bermakna pengalaman kita mengiringi jenazah tidak memberi makna. Mengapa pula perlunya aku mengingati hal kematian ini? Bukankah aku masih muda, masih bertenaga, kuat dan sihat? Ah, aku perlu berpandangan ke hadapan. Mengejar masa depan dengan terus tekun mencari kekayaan dan kemewahan. Apabila tua nanti barulah aku bertaubatlah! Jika inilah yang selalu melingkari fikiran dan hati kita, maka ingatlah yang kita sedang dihanyutkan syaitan. Nauzubillah. Cuba lihat di sekeliling kita selama ini. Ada bayi yang baru lahir sudah meninggal dunia. Ada pula kanak-kanak yang sedang periang nakal yang menjadi buah hati ibu bapa tiba-tiba mati. Ada pula yang sedang muda remaja sudah pergi menghadap Tuhannya. Jadi apa makna ini semua? Inilah yang dikatakan kematian tidak mengenal usia dan tidak bertempat. Belajarlah dan ambillah iktibar daripada peristiwa yang dipertontonkan Allah kepada kita. Sesungguhnya manusia yang paling bijaksana ialah mereka yang sentiasa mengingati kematian. Apa-apa saja yang dilakukan dan di mana-mana saja, kematian sentiasa menjadi ingatan dalam hatinya, lalu dia sentiasa ingat Tuhan. Beruntungnya manusia begini. Ini kerana jika kita ingat Allah dan sudah tentu Allah juga mengingati kita. Ruang lingkup kehidupannya di dunia dilalui atas landasan yang diredai Allah. Manusia sebegini sudah tentu sentiasa ingin memperbanyak amal ibadah dan beramal soleh. Habluminallah dijaga, habluminannas dipelihara rapi kerana baginya beramal ibadah dan beramal soleh adalah bekalan untuk kematiannya sebagai hadiah untuk Tuhannya. Kata Imam al-Ghazali, “Mengingati kematian itu menghasilkan kemanisan iman dan sekaligus menguatkan rasa berTuhan dan taqarrub kepada Allah.” Mengingati mati akan melembutkan hati dan jiwa yang keras. Percayalah, hati kita menjadi lembut apabila sentiasa mengingati Allah dan selalu ingat kematian. Dikisahkan iaitu ibu saudara Nabi s.a.w dan ibu kepada Saidina Zubair Ibnu ‘Awwam iaitu Sayyidah Safiyyah binti Abdul Mutalib menceritakan, “Ada seorang perempuan datang bertemu Aisyah r.a lalu dia mengadu mengenai hatinya yang keras dan kusut. Lalu dikatakan oleh Aisyah r.a, perbanyakkanlah mengingati mati, nanti akan lembut dan tenang hatimu.” Kemudian perempuan itu beredar meninggalkan Aisyah yang kemudian mengamalkan apa yang telah dipesan Aisyah. Hasilnya, hati perempuan itu menjadi tenang dan kembali lembut. Kemudian dia berkunjung semula menemui Aisyah untuk mengucapkan terima kasih atas nasihat Aisyah itu. Demikianlah ceritanya bagaimana hati seseorang yang keras dan tidak tenang dapat dilembutkan dengan mengingati mati. Jadi jika kita menghadapi apa saja masalah dalam kehidupan, maka ingatlah hal kematian. Insya-Allah kita kembali menjadi segar dan bertenaga untuk memacu arus kehidupan dengan pedoman diredai Ilahi. Oleh itu, jadikanlah kematian itu sebagai penasihat kepada kita agar sentiasa menjalani hidup dengan mengamalkan apa yang menepati kehendak Allah. Jadikanlah diri kita orang yang paling banyak mengingati mati dan paling tekun berusaha mempersiapkan diri menghadapinya. Ini kerana Rasulullah mengatakan orang yang paling cerdik adalah orang yang paling banyak mengingati mati.
Sumber: Harian Metro

Thursday, September 24, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Sudah lama saya tidak menulis dalam blog ini, oleh sebab kesibukan tugas sebagai guru dan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga tercinta. Sepanjang bulan puasa,banyak perkara yang saya niatkan dalam hati dan menjadi azam, ada yang tercapai dan ada yang tidak. Alhamdulilah, sepanjang bulan puasa, belanjawan saya tidak terbabas seperti bulan-bulan yang lain. Waktu berbuka pun, jarang-jarang sekali kami sekeluarga pergi ke pasar Ramadan.Kalau pergi pun, saya agak berdisiplin ketika berbelanja. Bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa,ikut mata lata.Maksudnya kalau ikut nafsu, padah akibatnya. Manakan tidaknya, waktu sebelum berbuka semua teringin nak rasa, hatta nampak air paip pun teringin tetapi apabila dah waktu berbuka, perut dah tak sanggup nak terima. Makan dua tiga jenis kuih dan minum air dah kenyang rasanya.Anak-anak pula tak banyak kerenahnya. Suami tercinta lagi senang. Katanya bulan puasa, bulan kita mengurangkan makan dan minum untuk mengenang si miskin yang tak mampu berbelanja apa-apa. Alhamdulilah, suami banyak mendidik kerohanian dalam diri saya.Mudahan -mudahan berkat mendengar kuliah agama darinya dapat saya menyampaikan kepada anak-anak didik sekalian. Apabila nak dekat menjelang syawal pula, memang niat dihati tak mahu beli apa-apa, tetapi terkenang cahaya mata yang ingin berbaju baharu, hati mengalah juga. Beli jugalah untuk mereka sepasang dua. Seronok ketika beli-belah di pasar raya yang bakal ditutup,harga yang ditawarkan memang teruja. Sangka dihati, harga yang ditawarkan memang berbaloi, rupa-rupanya apabila pulang ke kampung, dan pergi ke cawangan pasar raya tersebut, memang sah saya dan keluarga kena tipu. Harga yang ditawarkan di pasar raya di kampung saya jauh lebih murah. Alamak, dah nasib! Reda sahajalah untuk memujuk hati sendiri. Bab kuih raya pula, saya lebih gemar beli kerepek dan kacang kerana itulah yang jadi kegemaran tetamu di rumah saya tiap-tiap tahun. Kalau beli biskut raya, mesti tak laku. Biskut yang saya beli pun hanya yang jenis coklat sahaja, sebab jadi kegemaran anak-anak.
Ketika sedang menulis ini pun, loceng rumah tak henti- henti berbunyi kerana ramai tetamu cilik datang ke rumah nak beraya. Saya tahu mereka datang beraya bukan kerana hati yang ikhlas untuk beraya dan mengamalkan amalan ingin mengeratkan silaturahim tetapi untuk mengumpul duit raya. Saya sedih sangat kerana anak-anak yang comel ini tidak diberi ajaran akan kepentingan berhari raya dan ziarah -menziarahi sebagai perkara utama. Duit raya itu hanya aspek sampingan, jika tuan rumah nak beri kita terima tetapi jangan sampai meminta-minta. Ataupun duduk berjam-jam tak nak balik-balik sehingga tuan rumah, mula dah tak ikhlas untuk menjamu tetamu cilik mereka. Ada juga jiran-jiran yang langsung tak mahu buka pintu, sebaliknya mendiamkan diri dalam rumah, seolah-olah mereka tidak ada di rumah. Tiap kali tetamu cilik datang ke rumah, saya mesti beri nasihat kepada mereka terutama bab keselamatan, bimbang anak gadis yang comel jadi mangsa tuan rumah yang berhati binatang. Kes Nurin dan Sharlinie sentiasa saya sebutkan kepada mereka, agar mereka lebih berhati-hati, jangan terlampau suka-suka datang ke rumah insan yang mereka tidak kenali. Perkara ini betul-betul membingungkan saya kerana ibu bapa mereka seolah-olah tidak kesah, anak mereka berhari raya di rumah orang yang tak dikenali. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tak berguna.

Thursday, August 6, 2009

AYAT-AYAT CINTA

Sabda Rasulullah SAW: Barangsiapa yang hafal dan mengamalkan tujuh kalimah ini akan dimuliakan oleh Allah dan malaikat dan akan diampuni dosa-dosanya walau sebanyak buih di lautan..

1.Bismillahhirrahmannirrahim : pada tiap-tiap hendak melakukan sesuatu.

2.Alhamdulliah : pada tiap-tiap habis melakukan sesuatu.

3.Astagfirrullah : jika tersilap mengatakan sesuatu yang buruk.

4.Insyaallah : jika ingin melakukan sesuatu pada masa akan datang.

5.Lahaulawalaquatailahbillah : bila tidak dapat melakukan sesuatu yang agak berat atau melihat sesuatu yang buruk.

6.Innalillah : jika menghadapi musibah atau melihat kematian.

7.Laailaahaillallah : bacalah sepanjang siang dan malam sebanyak- banyaknya. Amalkanlah selalu moga-moga kita tergolong dalam kalangan orang yang terpilih oleh Allah.

Anda sebarkan @ forwardkan pada semua kenalan anda. sabda Rasullullah sesiapa yang menyampaikan satu ilmu dan orang yang mengamalkannya maka dia akan beroleh pahala walaupun sudah tiada.

MEMBENDUNG KEGANASAN REMAJA


SECARA umum, keganasan dapat difahami sebagai tingkah laku ganas dalam kalangan remaja yang melakukan gangsterisme, buli, pembunuhan, rogol dan peras ugut. Ramai ahli psikologi pendidikan yang membuat kajian punca keganasan ini berlaku, tetapi jawapannya lebih kepada sikap individu dan masalah keluarga.Tidak dinafikan ramai remaja mampu membawa diri tanpa mencetuskan masalah sosial, tetapi tidak kurang juga terjebak dengan kumpulan yang mudah bertindak liar seperti Punk, Black Metal dan Mat Rempit yang mempengaruhi ke arah keganasan di luar rumah.Kaitan antara kewujudan gejala sosial remaja dengan peranan ibu bapa tidak dapat dipisahkan. Ini kerana ibu bapa bukan saja menjadi penyumbang pembinaan sosial, tetapi mereka juga adalah contoh teladan yang mendidik nilai murni dan positif kepada anak.Justeru, apabila ibu bapa menghadapi konflik rumah tangga, anak akan melalui pelbagai masalah daripada keretakan dan perceraian yang berlaku. Kanak-kanak dan remaja terbiar tanpa interaksi sosial yang positif dan murni.

Anak yang tidak diberi perhatian mudah terjebak dalam aktiviti sosial termasuk jenayah. Mereka tidak dibentuk dengan akal budi yang baik dan sahsiah serta jati diri terpuji. Berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) didapati jenayah kekerasan seperti rogol pada 2006 ialah 2,454 kes dan 3,177 kes (2007). Sementara kes mencederakan (seksyen 324/326 Kanun Keseksaan), 5,843 kes pada 2006 meningkat kepada 6,806 kes pada 2007. Merusuh 2,291 kes pada 2006 kepada 2,604 kes pada 2007. Selain itu, ada juga jenayah pemerasan dan bunuh akibat daripada keganasan.Merujuk kepada kecenderungan kes jenayah, Selangor mencatatkan 15,104 kes diikuti Kuala Lumpur 7,639 dan Johor 6,900 pada 2007. Ini menunjukkan kes jenayah banyak berlaku di bandar besar.Sehubungan itu, masyarakat mestilah memainkan peranan proaktif ke arah membendung kes jenayah dan keganasan di kawasan mereka kerana remaja mudah terdedah dengan persekitaran yang menggalakkan mereka melakukan jenayah.Rasulullah s.a.w berpesan dalam sabdanya yang bermaksud, “Barang siapa di antara kamu melihat berlakunya kemungkaran maka hendaklah diubah dengan tangannya (kuasanya) dan sekiranya ia tidak mampu, maka hendaklah dengan lidahnya dan sekiranya tidak mampu maka hendaklah diubah dengan hatinya (benci dengan hati) dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” (Riwayat Muslim).Daripada keterangan hadis ini jelaslah setiap orang mempunyai peranan dan tanggungjawab sebagai khalifah untuk menghalang kemungkaran, jenayah dan keganasan yang dilakukan golongan tertentu.Unsur keganasan juga membabitkan emosi dan rasa marah yang tidak dapat dikawal. Pengaruh marah ini mendatangkan kesan tindak balas daripada perasaan dan tingkah laku.Tokoh pendidik dan ahli falsafah, Sigmund Freud mengatakan, teman akrab dan musuh besar selamanya tidak dapat dihindari daripada emosi kita. Oleh itu, kawalan emosi amat penting bagi mengelakkan keganasan berlaku dalam diri seseorang.Secara mudah keganasan adalah perlakuan atau tindak-tanduk yang mencerminkan penggunaan kekerasan terhadap pihak lain serta menyalahi dari segi moral, peraturan dan undang-undang.Kajian mendapati kebanyakan kes jenayah wujud akibat keluarga bermasalah, emosi tidak tenteram dan keganasan yang tidak dapat dikawal bagi membalas dendam.Sementara itu, Sambutan Hari Wanita Sedunia tahun ini bertemakan “Wanita dan Lelaki Bersama Menentang Keganasan Terhadap Wanita’ adalah peluang orang ramai untuk membuka minda serta memahami impak keganasan domestik terhadap wanita.Kajian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mendapati sekurang-kurangnya seorang daripada tiga wanita didera, dipaksa dari segi seks atau didera seumur hidupnya.Laporan dan kajian menunjukkan pada 2006, sebanyak 485 kes keganasan terhadap wanita dilaporkan pada Jabatan Kebajikan Masyarakat manakala berdasarkan kajian ‘United Nation Secretary General’s Study on Violence Against Children 2006’ dianggarkan hampir 275 juta kanak-kanak seluruh dunia menyaksikan keganasan domestik setiap tahun.Kajian ini membuktikan sebahagian besar daripada mangsa keganasan domestik adalah mereka yang kecil dan lemah, walaupun mereka tidak didera secara langsung, namun kanak-kanak sangat menderita apabila mereka terdedah kepada keganasan di rumah.Bagi membendung keganasan di rumah, ibu bapa perlu mendidik anak dengan penuh tanggungjawab dan kasih sayang. Sebagai amanah Allah, segala perbuatan ibu bapa akan dipersoalkan di akhirat nanti. Pengaruh persekitaran yang baik mesti diwujudkan dalam kehidupan seharian dalam rumah tangga bahagia.
Sumber: Harian Metro

Wednesday, July 15, 2009

Yang Mana Satu Idaman Kalbu?

Teks yang belum digunakan dalam peperiksaan SPM.
( Setakat peperiksaan BM Julai 2009 )
KELOMPOK CERPEN ATAU DRAMA
CERPEN
1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau
3. Virus Zel Untuk Abah
DRAMA
1. Serunai Malam
KELOMPOK PROSA KLASIK
1. Sabor
KELOMPOK PUISI ATAU SAJAK
SAJAK
1. Duhai Pentafsir
2. Di Ruang Gemanya
3. Anak Laut
4. Derita Pertama
5. Jalan jalan raya kotaku
PUISI
1. Seloka Pak Kaduk
2. Pantun Enam Kerat
3. Syair Kelebihan Ilmu
PERINGATAN :
1. Berdasarkan analisis soalan tahun 2001 hingga 2009 (J), hanya teks prosa klasik sahaja yang digunakan lebih daripada sekali. Teks bagi cerpen/drama dan sajak/puisi belum pernah digunakan lebih daripada sekali. Trend yang sama dijangka digunakan dalam soalan SPM November 2009.
2. Namun demikian pelajar dinasihati supaya mempelajari semua teks agar tidak kecewa sekiranya sesuatu KEJUTAN terjadi dalam peperiksaan hujung tahun ini.
3. Soalan 2(a), 2(b), 2(c) dan 2(d) sebenarnya tidak sukar untuk mereka yang memahami konsep penyoalan. Soalan memberi maksud rangkai kata, soalan konteks dan soalan KBKK boleh dijawab sekalipun calon tidak membaca teks penuh. Mereka mungkin menghadapi sedikit masalah untuk menjawab soalan komsas. Namun demikian bagi calon yang baik, misalnya nilai dalam petikan mudah diperoleh tanpa membaca teks penuh. Mereka hanya berhadapan masalah untuk membei nilai lain dalam teks.
4. Soalan pemahaman (2a hingga 2b) memperuntukkan markah yang besar iaitu 3.
5. Maka calon perlu bersungguh-sungguh untuk menjawabnya. Jangan terlalu difikirkan jawaban itu betul atau salah, logik atau tidak. Jawaban yang salah tidak akan ditolak markah. Maka persembahkan seberapa banyak idea dalam jawaban tetapi tidak mengabaikan pengurusan masa kerana masa dua jam setengah tidak terlalu lama sebenarnya.

Tuesday, July 14, 2009

Kata Majmuk Yang Dieja Bercantum

Ingat! Terdapat 15 kata majmuk yang sudah mantap penggunaannya dan dieja bercantum.

1. antarabangsa
2. bumiputera
3. kakitangan
4. olahraga
5. setiausaha
6. suruhanjaya
7. tanggungjawab
8. pesuruhjaya
9. beritahu
10. jawatankuasa
11. kerjasama
12. matahari
13. sukarela
14. tandatangan
15. warganegara

Monday, July 13, 2009

Tren shuttle selesakan perjalanan ke sekolah

BANGUN seawal pukul 4 pagi merupakan sesuatu yang biasa bagi Mohamad Hakim Hakimi, 13. Tetapi mengapa pelajar tingkatan satu ini perlu bangun begitu awal sedangkan sekolah sesi pagi hanya bermula jam 7.15 pagi?
Sebabnya, Mohamad Hakim perlu berada di perhentian kereta api Bukit Abu, Kuala Krai sebelum pukul 6 pagi untuk ke sekolah di Dabong, yang jaraknya 40 kilometer (km) dari situ.
Ketika rakan sebayanya yang tinggal di bandar masih diulit mimpi, pelajar Sekolah Menengah Dabong, Kelantan itu, bersama rakan-rakan yang lain terpaksa meredah gelap subuh dengan berjalan kaki antara dua hingga empat km untuk ke perhentian kereta api.
Seandainya terlewat sampai dan terlepas kereta api, maknanya mereka terpaksa ponteng sekolah pada hari itu.
Ketika sampai di perhentian itu, Mohamad Hakim dan rakan-rakannya yang lain sempat menunaikan solat Subuh. Ketika di dalam gerabak kereta api, dia sempat meneliti kerja sekolahnya.
Di sudut koc yang lain, cuaca dingin di dalam koc membuatkan ada pelajar yang sempat melelapkan mata sebelum sampai ke sekolah.
Hampir sejam kemudian, kereta api berhenti di stesen Dabong dan lebih 200 pelajar sekolah turun untuk ke sekolah-sekolah berhampiran.
Mungkin sukar untuk kita bayangkan pengorbanan pelajar sekolah yang tinggal di pedalaman Kelantan itu. Namun, bagi mereka itulah kehidupan sebenar yang dilalui sejak sekian lama.
Mereka tinggal di Kuala Bukit Abu, Temangan, Ulu Temiang dan Kampung Baru Sungai Mengkuang yang meniti alam persekolahan dengan penuh kepayahan dan ketabahan.
Kereta api merket
Kereta api dianggap sebagai nadi pengangkutan bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Ia bukan sahaja untuk ke sekolah tetapi untuk keluar ke bandar terdekat seperti Kuala Krai dan Pasir Mas.
Faktor kelembapan kereta api bukan menjadi masalah bagi mereka kerana inilah satu-satunya pengangkutan yang mereka ada. Setiap hari gerabak atau koc kereta api akan penuh dengan penumpang termasuk pelajar sekolah.
Kereta api yang datang dari Tumpat seawal pukul 3 pagi itu seakan-akan tidak jemu membawa pelajar terbabit pada setiap hari dan kini kereta api yang dulunya dikenali sebagai kereta api merket (kereta api pasar) diberi nafas baru oleh pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Menyelami kepayahan pelajar kerana kereta api sebelum ini tidak dilengkapi penghawa dingin dan tidak mempunyai sistem cahaya yang cerah di dalam koc, KTMB mengorak langkah menaik taraf kereta api sedia ada.
Idea untuk melengkapkan kereta api atau tren dengan penghawa dingin dan lampu yang mencukupi itu dicetuskan oleh Pengarah Urusan KTMB, Datuk Abdul Radzak Abdul Malek. Beliau mahu pelajar di pedalaman berada dalam keadaan selesa ketika menaikinya.
Naik taraf
"Pelajar sebelum ini terpaksa berpanas apatah lagi terpaksa berasak dengan para peniaga atau tok peraih.
"Saya telah mengarahkan supaya kereta api pasar ini dinaik taraf dan juga diwujudkan tren shuttle yang khusus bagi membawa pelajar pergi dan balik dari sekolah dengan selesa," kata Abdul Radzak ketika ditemui.
"Sebelum ini pelajar pulang dari sekolah dengan menaiki tren lain pada pukul 3.10 petang tetapi perkhidmatan tren terbaru itu akan bertolak dari Dabong pada pukul 2.10 petang iaitu awal kira-kira sejam masa menunggu berbanding sebelum ini," kata Abdul Radzak.
Mohamad Hakim merupakan antara pelajar yang begitu gembira apabila kereta api sedia ada itu dinaik taraf. Mereka tidak lagi mengeluh merasai bahang panas sepanjang perjalanan dan juga kini dia boleh menelaah pelajaran dalam keadaan selesa.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Dabong, Hazama Ismail berkata, pelajar sekarang boleh dikatakan beruntung kerana banyak kemudahan diberikan terutama kepada pelajar luar bandar seperti Dabong berbanding zaman persekolahannya dahulu.
Hazama yang yang berasal dari daerah Dabong berkata, beliau amat bersyukur dengan pengenalan tren baru oleh KTMB yang merupakan pengangkutan utama pelajar di pedalaman.
"Langkah ini patut dipuji kerana ia membantu pelajar pulang dari sekolah lebih awal. Lebih menggembirakan, pelajar tidak perlu lagi bersesak dengan tok peraih yang sememangnya menggunakan kereta api," katanya. - Bernama

Sumber: Kosmo online

Ayat Songsang VS Ayat pasif

Ayat songsang adalah ayat yang sebahagian atau keseluruhan predikat berada di hadapan binaan subjek. Perubahan kedudukan konsituen ini tidak melibatkan proses mempasifkan kata kerja transitif. Jadi ayat songsang tidak semestinya ayat pasif.
Sementara ayat pasif pula memang akan menyebabkan berlakunya perubahan konsituen dalam binaan predikat, iaitu seluruh atau sebahagian konsituen dalam binaan predikat akan berada di hadapan binaan subjek dengan berlakunya proses mempasifkan kata kerja transitif.
Cuba lihat ayat di bawah:
a. Emak menggoreng ikan.
ai. Ikan digoreng oleh emak
b. Ayah pergi memancing ikan semalam.
bi. Semalam ayah pergi memancing ikan.
Bagaimanapun boleh berlaku ayat songsang dengan ayat pasif tanpa mempasifkan kata kerja transitif. Contohnya boleh dilihat seperti :
a. Emak menggoreng ikan.
b. Ikan emak goreng.
Kesimpulannya, ayat songsang tak semestinya pasif tetapi ayat pasif mesti mempunyai struktur binaan songsang.
Sumber: Ajamsari.blogspot

Partikel 'Pun'

Terdapat 13 perkataan yang dieja bercantum dengan partikel "pun", iaitu
adapun, ataupun, andaipun, bagaimanapun, biarpun, kalaupun, kendatipun, lagipun, mahupun, meskipun, sekalipun, sungguhpun dan walaupun.

Kita boleh menggunakan Kaedah Neumonik untuk mengingat 13 perkataan `pun’ yang dieja secara bercantum dengan berdasarkan ayat ini, iaitu Ayah anggap/ anak bagai berlian/ kalau kita latih mereka/ wajar/ mereka sukses selalu.

adapun
Ayah
Ataupun
Anggap
Andaipun
Anak
Bagaimanapun
Bagai
Biarpun
Berlian
Kalaupun
Kalau
Kendatipun
Kita
Lagipun
Latih
Meskipun
Mereka
Walaupun
Wajar
Mahupun
Mereka
Sungguhpun
Sukses
Sekalipun
selalu

( Dicipta oleh: Wan Azlida bt. Wan Abdul Aziz, SMK Tuanku Abdul Rahman, Batu Arang, Selangor.)

Kata `pun’ yang bermaksud juga hendaklah dieja secara terpisah seperti telah pun, sudah pun, dan sebagainya.
sumber: Cikgu Ghalib-Munsyi Dewan

AWAS!

Salah sebut lain maknanya.

Bunyi e pepet Bunyi e taling

1. bela ( pelihara ) bela ( mempertahankan )
2. lepak ( terlalu putih ) lepak ( membuang masa )
3. pelekat ( gam ) pelekat ( sejenis kain sarung )
4. pesak ( sekam ) pesak ( bahagian pada baju )
5. reda ( mula kurang ) reda ( rela )
6. rendang ( sejenis makanan ) rendang ( rimbun )
7. sepah ( hampas ) sepah ( berselerak )
8. perang ( pertempuran ) perang ( warna kekuning-kuningan )

Demerit oh Demerit !

Tak disangka pelaksanaan sistem demerit yang baru dijalankan di sekolahku menimbulkan suasana baru kepada semua anak didikku. Manakan tidaknya, tiap-tiap hari ada sahaja murid-murid yang datang ke bilik disiplin untuk menyemak markah demerit mereka. Yang pemalu, yang pendiam,yang baik pun tidak ketinggalan hendak menyemak markah demerit mereka. Kelakar pulak rasanya.Yang tidak memakai tanda nama sudah mula menempah. Yang rambut panjang sudah mula merelakan rambut mereka dipotong.Ramai anak murid yang kata seronok dapat cikgu potong rambut kerana dapat jimat rm 15. Ada pula yang kata "style" cikgu potong cantiklah.Yang kelakarnya ada ibu bapa yang datang mengadu ,"cikgu anak saya nak cikgu yang potong rambut dia, dapat berkat." katanya. Tetapi yang jelasnya ramai anak murid yang sudah mula risau, bimbang markah demerit mereka akan bertambah. "Cikgu, macam mana hendak dapat markah merit pula?" ramai yang sudah mula bertanya. "Senang sungguh, hari-hari awak semua mesti jadi murid yang baik dan patuh kepada peraturan sekolah," Itulah kalimat yang cikgu Shima, Ketua Disiplin di sekolahku wara-warakan setiap pagi pada waktu perhimpunan. Semoga dengan pelaksanaan sistem ini akan menampakkan hasilnya.

4 AMANAH, CIKGU SAYANG KAMU

Awal tahun ini, cikgu ditugaskan untuk menjadi guru kelas 4 Amanah. Cikgu terima tugas tersebut dengan rela hati walaupun cikgu takut tidak mampu menjadi guru kelas yang terbaik kerana memikul tanggungjawab yang besar sebagai guru disiplin. Tetapi cikgu yakin jika kita sentiasa mengganggap setiap tugas yang diberi merupakan amanah, kita pasti boleh melakukannya. Cikgu amat gembira bersama kalian semua. Setiap teguran dan nasihat yang cikgu beri kalian sentiasa mengikutinya. Cikgu amat berbangga kerana dapat mendidik anak-anak murid seperti kalian. TAHNIAH 4 AMANAH kerana setiap kali pada waktu perhimpunan, nama kelas kita pasti diumumkan sebagai pemenang bagi pertandingan keceriaan kelas. Cikgu lebih berbangga sekiranya prestasi akademik kalian akan terus melonjak.Terus berusaha sehingga tiada seorang pun di dalam kelas cikgu yang gagal dalam apa-apa mata pelajaran. Shazrin, Aisyairah terus berusaha menjadi ketua kelas dan penolong yang berdedikasi. Terima Kasih semua murid kelas 4 Amanah kerana telah memberi kerjasama kepada cikgu.

Sistem Panggilan Waktu

Keliru! ramai yang salah menggunakan sistem panggilan waktu. Waktu tengah hari dikatakan petang, waktu tengah malam dikatakan pagi. Jika tidak mahu silap lagi rujuklah sistem panggilan waktu berikut.

1.00a.m. hingga 11.59 a.m. = pagi
12.00 a.m. hingga 1.59 p.m. = tengah hari
2.00 p.m. hingga 6.59 p.m. = petang
7.00 p.m. hingga 11.59 p.m. = malam
12.00 p.m. hingga 12.59 a.m. = tengah malam

Semoga anda semua tidak terkeliru lagi dengan sistem panggilan waktu.

Negara Kurang Guru?

Oleh Suliati Asri suliati@hmetro.com.my
BAGI memenuhi keperluan yang semakin mendesak, kerajaan akan menambah jumlah pengambilan guru ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari semasa ke semasa.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan menambah pengambilan guru itu diambil berikutan keperluan guru semakin mendesak terutama di kawasan bandar yang mengalami kadar pertumbuhan pesat penduduk.Namun, persoalannya, adakah benar kita masih mengalami kekurangan guru walaupun setiap tahun, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG) melakukan pengambilan baru. Apatah lagi, kerjaya sebagai pendidik memang popular di negara ini.Justeru, ke mana hilangnya bakal guru yang ditawarkan mengikuti program pendidikan IPTA dan IPG itu? Adakah mereka berkemungkinan 'kecundang' sebelum layak untuk menjadi pendidik?Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah Kasa, berkata sememangnya negara masih mengalami masalah kekurangan guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan. Menurutnya, pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran."Untuk bakal guru di sekolah menengah, mengikut unjuran kementerian, seramai 4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini."Daripada jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang," katanya.Jika dilihat bilangan pelajar yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru sekolah menengah empat tahun lagi, jelas sangat mencukupi dan masalah kekurangan guru seharusnya tidak berlaku.Namun, menurut Zakariah, masalah kekurangan guru tetap dihadapi disebabkan tidak punya calon yang sesuai dan benar-benar boleh menjadi guru yang diinginkan."Ketiadaan calon ini bukan disebabkan ketiadaan pelajar yang menghantar permohonan, namun ia disebabkan kegagalan mereka melepasi tahap saringan ditetapkan."Contohnya, mereka yang ditawarkan untuk mengikuti program perguruan di UPSI perlu lulus Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI) sebelum sesi temu duga khas."Kegagalan mereka di ujian MEdSI itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan dan calon yang diunjurkan kementerian bagi mengisi kekosongan jawatan guru empat tahun akan datang tidak menepati apa yang diinginkan," katanya.Kegagalan calon melepasi saringan itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan pelajar diperlukan."Selain itu, selepas menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah, mereka secara automatik di bawah seliaan kementerian dan sekali lagi perlu lulus Ujian Inventori Sahsiah Keguruan (Insak) sebelum dihantar ke mana-mana sekolah."Andai ujian itu gagal, mereka tidak akan bergelar pendidik dan ia menjadikan jumlah guru yang dikehendaki tidak tercapai serta menyebabkan masalah guru berkurangan," katanya.Faktor kekurangan guru disebabkan graduan memilih subjek yang akan dikendalikan mereka tidak benar sama sekali. Ini kerana, sepanjang mengikuti pembelajaran, mereka diberi dua subjek mengikut kelayakan dan kementerian tidak akan mengarahkan mereka mengajar subjek yang bukan dalam bidang kepakaran mereka.Zakariah berkata, negara mengalami masalah kekurangan guru juga disebabkan sikap pemohon yang sambil lewa dalam pemilihan kursus."Masalah yang sering kita hadapi bagi pelajar lepasan IPTA yang mahu mengambil Diploma Perguruan di UPSI ini adalah kesilapan memilih kursus."Sebagai contoh, di IPTA, pengkhususan yang diambilnya adalah Sains Pertanian dan apabila memohon, dia mahu mengambil subjek Sejarah. Apabila masalah ini berlaku, kita tidak akan memproses permohonannya," katanya.Menurutnya, masalah kekurangan guru itu juga berpunca daripada ketidaksesuaian calon untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Kuota pengambilan guru untuk subjek agama misalnya, cukup sukar dipenuhi disebabkan calon tidak memenuhi kriteria kelayakan."Bagi mengelakkan masalah kekurangan guru daripada berterusan, pemohon perlu memilih subjek yang diingini berdasarkan kelayakan masing-masing di samping minat terhadap subjek pengajaran bagi mengelakkan mereka sendiri berasa tertekan apabila bergelar guru kelak," katanya. Menariknya, menurut Zakariah, masalah guru yang berhenti selepas dihantar ke kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang ketara. Ini kerana, guru berkenaan sudah diberi pendedahan awal mengenai bidang pengajaran di pedalaman menerusi latihan persediaan.Di UPSI misalnya, calon guru diberi pendedahan dengan dihantar ke kawasan pedalaman terlebih dulu bagi membiasakan mereka dengan kawasan terbabit sebelum mula mengajar. Justeru, masalah keengganan mengajar di kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang membebankan calon guru berkenaan sehingga rela melepaskan jawatan.

Ingin Gembira dan Bahagia ?

Hidup kita ini sebenarnya terlalu singkat. Pergunakan waktu yang singkat untuk menjadi seorang insan yang berguna dan berjaya.Tahukah anda terdapat pelbagai cara untuk kita menikmati hidup dengan penuh kebahagiaan ? Bagaimana?

1. Sentiasa berusaha mendekati kepada yang Esa dan jauhi larangan-Nya.
2. Jaga hati supaya tidak terkena penyakit hati seperti hasad, tamak, angkuh dll.
3. Sentiasa berfikiran positif dan tanamkan dalam minda bahawa kita ingin untuk menjadi yang terbaik.
4. Sentiasa mengambil iktibar daripada kesilapan yang lalu dan jadikannya sebagai pedoman.
5. Sentiasa bermuhasabah tentang diri.
6. Menjadi insan yang mudah gembira jika menerima khabar kejayaan insan lain dan mengganggap kejayaan itu adalah kejayaan buat semua dan kita juga akan berjaya sepertinya.
7. Sentiasa berbuat baik kepada setiap insan tanpa mengira pangkat dan darjat.
8. Berbuat sesuatu dengan niat yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan.
9. Peruntukkan sebanyak masa untuk meningkatkan potensi diri sehingga tidak punya masa untuk mengkritik insan lain.
10. Jika terlihat kelemahan insan lain, segera beristighfar dan elakkan mengikuti sifat tersebut.
Percayalah ............ jika kita ikuti petua tersebut, hati kita akan lebih tenang dan akan mudah gembira.