Monday, September 28, 2009

Tugasan Guru Membebankan?

Apabila dibincang tentang skop tugasan guru, ramai guru-guru yang mula mengeluh. Dalam mesyuarat guru yang pertama yang sering diadakan pada akhir bulan Disember, perkara pertama yang semua cikgu nak tahu ialah tentang tugasan yang bakal mereka terima pada tahun semasa. Masing-masing tak sabar-sabar nak buka buku agihan tugas. Selepas itu, akan muncullah pelbagai reaksi daripada guru-guru. Ada yang gembira, ada yang berduka, ada yang tak kisah langsung dan pendek kata macam-macam reaksi ada. Bagi yang gembira, mungkin tugas yang diberikan lebih ringan daripada tahun sebelumnya. Bagi yang berduka, tentulah beban tugas lebih banyak atau terpaksa memegang jawatan yang tidak diingini. Akan timbul pelbagai gosip, mula menyalahkan pihak pentadbiran yang tak peka terhadap kakitangan bawahan, guru baru merasakan tidak adil kerana beban tugas mereka jauh lebih banyak daripada guru senior, guru senior pula mula merasakan beban tugas semakin bertambah kerana tugasan yang diberikan lebih mencabar, termasuk menjadi setiausaha peperiksaan, ketua panitia dan sebagainya. Kalut situasi pada awal tahun. Alhamdulilah, tak pernah lagi saya dengar berlaku perang dunia antara guru dalam hal ini. Itulah kelebihan guru, kerana mereka mengamalkan etika kerja profesional. Kalau ada pun, gosip sekejap sahaja. Al maklumlah guru juga merupakan insan biasa, yang tak lepas daripada melakukan kesalahan.

Cuma, apabila menyentuh hal ini, saya merasakan semua guru harus meletakkan diri masing-masing ke dalam situasi rakan yang kita sering kritik. Kita sering menyalahkan pihak lain tetapi cuba bayangkan jika kita berada dalam situasi tanggungjawab mereka pula. Apa yang akan kita lakukan? Adakah kita akan melakukan perkara yang sama, atau sebaliknya? Berdasarkan pengalaman saya, saya dapati lazimnya perkara yang kita gemar kritik akan berlaku pula terhadap diri kita sendiri. Saya tidak pula bermaksud, bahawa kita tidak boleh mengkritik tetapi kritikan yang dilakukan hendaklah datang daripada hati yang ikhlas, ingin membantu, atau memberi kritikan yang membina. Lazimnya kritikan sebegini akan mengeratkan silaturahim sesama rakan sejawat mahupun sesama insan.

Terus terang saya katakan saya gemar dikritik daripada saya hanyut dengan kata-kata ampu orang lain, yang entahkan ikhlas, entahkan tidak. Oleh sebab itu, saya akan meminta anak didik saya memberi komen membina bagi membantu saya memantapkan lagi proses pengajaran saya. Selalunya 2 bulan sekali saya meminta mereka memberi kritikan yang mantap terhadap proses pengajaran saya. Begitu juga jika proses pencerapan hendak dilakukan, perkara pertama pertama saya pesan kepada kepada pengetua, dan ketua bidang, tolong kritik jika nampak kekurangan dalam proses pengajaran saya. Alhamdulilah saya tak pernah kecewa dan kecil hati jika mereka mengkritik saya. Memang patut pun kalau kesilapan yang kita lakukan ditegur, terima dengan hati yang terbuka.
Banyak perkara yang akan kita belajar jika kita bersedia untuk menerima pembaharuan dan perubahan. Belajarlah selagi kedua-dua mata kita tidak tertutup untuk selama-lamanya. Terima ilmu untuk diamalkan bukan untuk diketahui sahaja. Anggap tugas yang kita terima adalah sebahagian daripada proses untuk menimba ilmu. Insyaallah kita tak akan stress, malah dapat pahala daripada yang maha Esa. Oleh itu,elakkan mengganggap tugas yang diberi sebagai satu bebanan. Insyaallah, tuhan akan permudahkan jika kita benar-benar ikhlas.




No comments:

Post a Comment