
Sejauh mana kita menyayangi bahasa kita? Adakah kita rasa rendah diri jika menggunakan bahasa kita,bahasa ibunda,yakni bahasa Melayu? Kadangkala saya rasa kecewa melihat masyarakat Melayu kurang menghargai bahasa ibundanya sendiri. Pelik tapi benar. Di mana-mana juga masyarakat Melayu suka mencampuradukkan bahasa Melayu bersama dengan bahasa Inggeris. Paling tidak pun kata ganti nama saya, automatik bertukar I atau awak,sebagai you. Itulah realiti masyarakat Melayu kini. Situasi yang paling mengecewakan apabila ramai golongan Melayu berpendidikan bertutur sesama bangsa sendiri menggunakan bahasa Inggeris. Pelik kerana mereka saling memahami bahasa Melayu. Anak jati Melayu. Saya tidak menafikan akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa terpenting dunia, namun biarlah bertempat. Jika bertemu warga asing yang tidak memahami bahasa Melayu, silakanlah bertutur dalam bahasa Inggeris. Menuntut ilmu dalam pelbagai bahasa memang digalakkan dan sangat dialu-alukan, namun gunakannya mengikut acuan budaya kita. Jangan menangis kelak, jika suatu hari nanti, bahasa Melayu antara bahasa yang akan pupus,lantaran anak bangsa yang tidak belajar menghargainya, benarlah kata pepatah "hilang bahasa, lenyaplah bangsa."
No comments:
Post a Comment