Friday, September 25, 2009

JADIKAN KEMATIAN SEBAGAI MUHASABAH


SETIAP makhluk yang bernyawa pasti mati. Perkara kematian adalah pasti dan semua manusia pasti melaluinya. Mungkin sebelum ini, kita pernah mengiringi jenazah ahli keluarga, sanak saudara atau rakan. Sudah tentu suasana hiba dan penuh sayu menyelubungi setiap insan yang menghantar jenazah berkenaan ke tanah perkuburan.Yang sudah mati akan berhadapan dengan Allah, tetapi kita yang masih hidup yang mengiringi jenazah itu bagaimana? Tidakkah terlintas di sanubari menginsafi diri yang suatu ketika nanti beginilah keadaannya apabila sekujur tubuh tanpa nyawa diusung dalam keranda ke tanah perkuburan! Sepatutnya inilah detik yang membuka ruang keinsafan lalu bermuhasabah diri demi membetulkan segala dosa silam yang pernah kita lakukan. Seharusnya ketika itulah saat paling murni buat sesiapa saja yang mengiringi jenazah itu membayangkan beginilah diriku yang akan diusung apabila aku mati nanti! Alangkah indahnya jika kematian membuahkan keinsafan hakiki lalu menjernihkan lubuk hati setiap pengiring jenazah. Janganlah hendaknya timbul gelak ketawa dan suara hiruk pikuk hingga peristiwa kematian menjadi peristiwa biasa sahaja.

Janganlah kawan. Marilah kita ambil pengajarannya untuk membaik pulih diri. Ingat kawan, kematian itu datang secara tiba-tiba. Tetapi tanda dan amaran mengenai kematian sentiasa dijelmakan secara jelas dan nyata. Apa tidaknya, cuba lihat rambut kita. Cubalah lihat pada kadar penglihatan mata kita. Makin hari makin beruban. Dari sehari ke sehari semakin kabur mata kita. Bukankah itu tanda kematian kita? Jadi, kenapa perlunya menangguhkan taubat? Mengapa liat dan lalai bermuhasabah diri? Jika kita masih lalai dan seolah-olah melupakan kematian, bermakna pengalaman kita mengiringi jenazah tidak memberi makna. Mengapa pula perlunya aku mengingati hal kematian ini? Bukankah aku masih muda, masih bertenaga, kuat dan sihat? Ah, aku perlu berpandangan ke hadapan. Mengejar masa depan dengan terus tekun mencari kekayaan dan kemewahan. Apabila tua nanti barulah aku bertaubatlah! Jika inilah yang selalu melingkari fikiran dan hati kita, maka ingatlah yang kita sedang dihanyutkan syaitan. Nauzubillah. Cuba lihat di sekeliling kita selama ini. Ada bayi yang baru lahir sudah meninggal dunia. Ada pula kanak-kanak yang sedang periang nakal yang menjadi buah hati ibu bapa tiba-tiba mati. Ada pula yang sedang muda remaja sudah pergi menghadap Tuhannya. Jadi apa makna ini semua? Inilah yang dikatakan kematian tidak mengenal usia dan tidak bertempat. Belajarlah dan ambillah iktibar daripada peristiwa yang dipertontonkan Allah kepada kita. Sesungguhnya manusia yang paling bijaksana ialah mereka yang sentiasa mengingati kematian. Apa-apa saja yang dilakukan dan di mana-mana saja, kematian sentiasa menjadi ingatan dalam hatinya, lalu dia sentiasa ingat Tuhan. Beruntungnya manusia begini. Ini kerana jika kita ingat Allah dan sudah tentu Allah juga mengingati kita. Ruang lingkup kehidupannya di dunia dilalui atas landasan yang diredai Allah. Manusia sebegini sudah tentu sentiasa ingin memperbanyak amal ibadah dan beramal soleh. Habluminallah dijaga, habluminannas dipelihara rapi kerana baginya beramal ibadah dan beramal soleh adalah bekalan untuk kematiannya sebagai hadiah untuk Tuhannya. Kata Imam al-Ghazali, “Mengingati kematian itu menghasilkan kemanisan iman dan sekaligus menguatkan rasa berTuhan dan taqarrub kepada Allah.” Mengingati mati akan melembutkan hati dan jiwa yang keras. Percayalah, hati kita menjadi lembut apabila sentiasa mengingati Allah dan selalu ingat kematian. Dikisahkan iaitu ibu saudara Nabi s.a.w dan ibu kepada Saidina Zubair Ibnu ‘Awwam iaitu Sayyidah Safiyyah binti Abdul Mutalib menceritakan, “Ada seorang perempuan datang bertemu Aisyah r.a lalu dia mengadu mengenai hatinya yang keras dan kusut. Lalu dikatakan oleh Aisyah r.a, perbanyakkanlah mengingati mati, nanti akan lembut dan tenang hatimu.” Kemudian perempuan itu beredar meninggalkan Aisyah yang kemudian mengamalkan apa yang telah dipesan Aisyah. Hasilnya, hati perempuan itu menjadi tenang dan kembali lembut. Kemudian dia berkunjung semula menemui Aisyah untuk mengucapkan terima kasih atas nasihat Aisyah itu. Demikianlah ceritanya bagaimana hati seseorang yang keras dan tidak tenang dapat dilembutkan dengan mengingati mati. Jadi jika kita menghadapi apa saja masalah dalam kehidupan, maka ingatlah hal kematian. Insya-Allah kita kembali menjadi segar dan bertenaga untuk memacu arus kehidupan dengan pedoman diredai Ilahi. Oleh itu, jadikanlah kematian itu sebagai penasihat kepada kita agar sentiasa menjalani hidup dengan mengamalkan apa yang menepati kehendak Allah. Jadikanlah diri kita orang yang paling banyak mengingati mati dan paling tekun berusaha mempersiapkan diri menghadapinya. Ini kerana Rasulullah mengatakan orang yang paling cerdik adalah orang yang paling banyak mengingati mati.
Sumber: Harian Metro

No comments:

Post a Comment