Sudah lama saya tidak menulis dalam blog ini, oleh sebab kesibukan tugas sebagai guru dan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga tercinta. Sepanjang bulan puasa,banyak perkara yang saya niatkan dalam hati dan menjadi azam, ada yang tercapai dan ada yang tidak. Alhamdulilah, sepanjang bulan puasa, belanjawan saya tidak terbabas seperti bulan-bulan yang lain. Waktu berbuka pun, jarang-jarang sekali kami sekeluarga pergi ke pasar Ramadan.Kalau pergi pun, saya agak berdisiplin ketika berbelanja. Bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa,ikut mata lata.Maksudnya kalau ikut nafsu, padah akibatnya. Manakan tidaknya, waktu sebelum berbuka semua teringin nak rasa, hatta nampak air paip pun teringin tetapi apabila dah waktu berbuka, perut dah tak sanggup nak terima. Makan dua tiga jenis kuih dan minum air dah kenyang rasanya.Anak-anak pula tak banyak kerenahnya. Suami tercinta lagi senang. Katanya bulan puasa, bulan kita mengurangkan makan dan minum untuk mengenang si miskin yang tak mampu berbelanja apa-apa. Alhamdulilah, suami banyak mendidik kerohanian dalam diri saya.Mudahan -mudahan berkat mendengar kuliah agama darinya dapat saya menyampaikan kepada anak-anak didik sekalian. Apabila nak dekat menjelang syawal pula, memang niat dihati tak mahu beli apa-apa, tetapi terkenang cahaya mata yang ingin berbaju baharu, hati mengalah juga. Beli jugalah untuk mereka sepasang dua. Seronok ketika beli-belah di pasar raya yang bakal ditutup,harga yang ditawarkan memang teruja. Sangka dihati, harga yang ditawarkan memang berbaloi, rupa-rupanya apabila pulang ke kampung, dan pergi ke cawangan pasar raya tersebut, memang sah saya dan keluarga kena tipu. Harga yang ditawarkan di pasar raya di kampung saya jauh lebih murah. Alamak, dah nasib! Reda sahajalah untuk memujuk hati sendiri. Bab kuih raya pula, saya lebih gemar beli kerepek dan kacang kerana itulah yang jadi kegemaran tetamu di rumah saya tiap-tiap tahun. Kalau beli biskut raya, mesti tak laku. Biskut yang saya beli pun hanya yang jenis coklat sahaja, sebab jadi kegemaran anak-anak.
Ketika sedang menulis ini pun, loceng rumah tak henti- henti berbunyi kerana ramai tetamu cilik datang ke rumah nak beraya. Saya tahu mereka datang beraya bukan kerana hati yang ikhlas untuk beraya dan mengamalkan amalan ingin mengeratkan silaturahim tetapi untuk mengumpul duit raya. Saya sedih sangat kerana anak-anak yang comel ini tidak diberi ajaran akan kepentingan berhari raya dan ziarah -menziarahi sebagai perkara utama. Duit raya itu hanya aspek sampingan, jika tuan rumah nak beri kita terima tetapi jangan sampai meminta-minta. Ataupun duduk berjam-jam tak nak balik-balik sehingga tuan rumah, mula dah tak ikhlas untuk menjamu tetamu cilik mereka. Ada juga jiran-jiran yang langsung tak mahu buka pintu, sebaliknya mendiamkan diri dalam rumah, seolah-olah mereka tidak ada di rumah. Tiap kali tetamu cilik datang ke rumah, saya mesti beri nasihat kepada mereka terutama bab keselamatan, bimbang anak gadis yang comel jadi mangsa tuan rumah yang berhati binatang. Kes Nurin dan Sharlinie sentiasa saya sebutkan kepada mereka, agar mereka lebih berhati-hati, jangan terlampau suka-suka datang ke rumah insan yang mereka tidak kenali. Perkara ini betul-betul membingungkan saya kerana ibu bapa mereka seolah-olah tidak kesah, anak mereka berhari raya di rumah orang yang tak dikenali. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tak berguna.
No comments:
Post a Comment