Thursday, December 10, 2009

HIDUNG



Deria kita untuk menghidu tentunya hidung. Melalui rongga hidung juga, kita mampu untuk bernafas.Dengan bernafas,kita mampu untuk menikmati kehidupan yang dianugerahkan oleh Ilahi untuk terus sujud kepada-Nya. Lantaran, peri penting hidung dalam hidup kita, maka tidak mustahil orang tua-tua dahulu menggunakan perkataan tersebut dalam peribahasa. Bermacam-macam perkataan hidung digunakan. Antaranya:

  • Hidung belang-gemar menipu cinta perempuan
  • Hidung dicium,pipi digigit-cinta palsu
  • Hidung laksana kuntum seroja- hidung perempuan yang cantik
  • Hidung putih- sangat gemar kepada perempuan
  • Hidung seperti dasun tunggal- hidung yang mancung
  • Hidung sudah rampung diatur- sudahlah bodoh,tidak sedar pula diri diperbodoh
  • Hidung tak mancung,pipi tersorong-sorong-orang tidak sudi,kita yang hendak
  • Hidung tinggi-Sombong
Itu sahaja,peribahasa yang mampu saya senarai pada hari ini,mungkin banyak lagi perkataan tersebut digunakan. Apa-apa pun jika sudah tahu,kita harus menggunakan,agar perkataan terus kekal dalam memori jangka panjang di kotak fikiran kita. Insyaallah.

Tuesday, December 8, 2009

MATA


Bahagian anggota badan untuk melihat, tentunya mata. Mata penting dalam kehidupan kita, tanpanya kita tidak akan dapat menikmati anugerah ilahi untuk menghayati dan mengagumi kebesaran yang Esa. Lantaran itu, kali ini saya ingin mengupas perkataan mata yang terkandung dalam peribahasa. Berikut merupakan peribahasa yang menggunakan perkataan mata:

  • Mata air- kekasih
  • Mata angin-arah georafis
  • Mata batin- daya atau kebolehan memahami sesuatu tampa berfikir atau membuat secara sedar,gerak hati.
  • Mata bedil- butir pembidik pada laras senapang
  • Mata belalang belum pecah, sudah hendak membuta- hendak tidur malam terlalu awal.
  • Mata benda- barang berharga
  • Mata berkutuk,hati bersetan- orang tidak bermoral,tidak dapat membezakan antara yang buruk dan baik.
  • Mata bisul- lubang bisul
  • Mata bogel- tidak berkaca mata
  • Mata buku- ruas jari
  • Mata bulan- bulan yang nampak samar
  • Mata cemperling- mata yang merah warnanya
  • Mata cincin- permata pada cincin
  • Mata dabus- besi tajam yang digunakan dalam permainan dabus
  • Mata dacing-ukuran timbangan pada dacing
  • Mata dagangan- barang-barang dagangan
  • Mata dekat- tidak dapat melihat kalau jauh
  • Mata duitan- mementingkan wang
  • Mata duli- buku lali
  • Mata gawai- pembantu
  • Mata gelap- mengamuk oleh sebab marah
  • Mata gergaji- gerigi gergaji,orang yang memihak
  • Mata gunting-bahagian tajam pada gunting
Ini baru peribahasa yang menggunakan perkataan mata. Banyak juga daripada perkataan mata itu yang jarang-jarang diguna pakai oleh generasi masa kini. Pendek kata, banyak yang saya tidak pernah mendengarnya pun, apatah lagi untuk menggunakannya. Semoga selepas ini ada antara peribahasa tersebut akan cuba saya terapkan dalam pertuturan. Insyaallah.

Saturday, December 5, 2009

KAGUMNYA


Saya kagum sungguh dengan ketelitian masyarakat dahulu ketika mula mencipta peribahasa. Bayangkan begitu terperinci mereka mencipta peribahasa yang begitu indah dan kadangkala sukar saya gambarkan kebijaksaan yang dimiliki oleh mereka. Begitu teliti. Jika saya mengupas isu berkenaan perkataan "kepala" sahaja akan kita temukan pelbagai jenis peribahasa yang menggunakan perkataan tersebut. Contohnya

  • Kepala air - bahagian awal air banjir
  • Kepala angin - perangai tidak stabil
  • Kepala arwah - hidangan istimewa di dalam kenduri arwah
  • Kepala bahu - bahagian bahu yang bertemu dgn pangkal lengan
  • Kepala batu - degil
  • Kepala berat - bodoh
  • Kepala berita -tajuk berita
  • Kepala desa - ketua kampung
  • Kepala dingin- Tenang dan sabar
  • Kepala dua- hipokrit
  • Kepala gigi- bahagian atas gigi
  • Kepala jambatan- bahagian awal jambatan
  • Kepala kain-Bahagian kain yang lain coraknya.
  • Kepala karangan- Tajuk karangan
  • Kepala kawan- Ketua kumpulan
  • Kepala kayu-bodoh
  • Kepala ke bawah kaki ke atas- bertungkus -lumus bekerja mencari nafkah.
  • Kepala keluarga-ketua keluarga
  • Kepala keretapi- bahagian enjin lokomotif
Itu baru, perkataan kepala, bagaimana pula bahagian badan yang lain. Sama-sama kita fikirkan...hebat sungguh pemikiran masyarakat dahulu.

Friday, December 4, 2009

FIKIR-FIKIRKANLAH.........


Sejauh mana kita menyayangi bahasa kita? Adakah kita rasa rendah diri jika menggunakan bahasa kita,bahasa ibunda,yakni bahasa Melayu? Kadangkala saya rasa kecewa melihat masyarakat Melayu kurang menghargai bahasa ibundanya sendiri. Pelik tapi benar. Di mana-mana juga masyarakat Melayu suka mencampuradukkan bahasa Melayu bersama dengan bahasa Inggeris. Paling tidak pun kata ganti nama saya, automatik bertukar I atau awak,sebagai you. Itulah realiti masyarakat Melayu kini. Situasi yang paling mengecewakan apabila ramai golongan Melayu berpendidikan bertutur sesama bangsa sendiri menggunakan bahasa Inggeris. Pelik kerana mereka saling memahami bahasa Melayu. Anak jati Melayu. Saya tidak menafikan akan kepentingan bahasa Inggeris sebagai bahasa terpenting dunia, namun biarlah bertempat. Jika bertemu warga asing yang tidak memahami bahasa Melayu, silakanlah bertutur dalam bahasa Inggeris. Menuntut ilmu dalam pelbagai bahasa memang digalakkan dan sangat dialu-alukan, namun gunakannya mengikut acuan budaya kita. Jangan menangis kelak, jika suatu hari nanti, bahasa Melayu antara bahasa yang akan pupus,lantaran anak bangsa yang tidak belajar menghargainya, benarlah kata pepatah "hilang bahasa, lenyaplah bangsa."

Wednesday, December 2, 2009

KESANTUNAN BERBAHASA

Masyarakat Melayu memang terkenal dengan adab dan tatasulila. Oleh sebab itu, lahir pelbagai jenis peribahasa, yang antara tujuannya ialah menjaga adab ketika bertutur. Orang-orang tua bijak menyusun kata agar setiap butir bicara tidak menyinggung hati sipendengar. Jika ingin membuat teguran sekalipun,adab berbicara tetap diutamakan. Lantaran itulah,peribahasa terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata badan binasa sentiasa diaplikasi dalam kehidupan mereka seharian. Berbeza dengan masyarakat hari ini, jika bertutur, aspek budi bahasa diletakkan ditempat terakhir. Budaya berfikir dahulu sebelum berkata sering kali diabaikan ataupun ditolak tepi.Justeru, lahirlah perkataan -perkataan kesat ataupun bergurau secara keterlaluan hingga kadang kala benar-benar menghiris hati insan yang mendengarnya. Jika dahulu, hierarki golongan berusia atau berdarjat dihormati menerusi kata-kata, kini masyarakat tidak mengambil kesah. Suatu ketika dahulu, guru antara golongan yang sangat dihormati dan kita amat berhati-hati jika bertutur dengan mereka, kini seakan-akan dipandang sebelah mata. Agak terkilan golongan ibu bapa juga bertindak dalam situasi yang sama. Benarlah kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya. Jagalah adab ketika berbicara,jika tidak mengenang budaya, kenanglah agama yang mengajar kita jangan menyinggung hati sesiapa,jika tidak akibatnya berdosa.Sedar ataupun tidak semuanya kerana tidak menjaga kesantunan berbahasa.