Tuesday, June 5, 2012

AKADEMIK ATAU AKHLAK?

Jika dilihat ibu bapa zaman sekarang ni..sangat prihatin dengan pendidikan anak-anak. Masing-masing berlumba cuba menjadikan anak-anak cemerlang akademik. Teruja melihat perkembangan ini. Pendek kata masing-masing ghairah dengan pencapaian keputusan peperiksaan anak-anak.Perbualan pun banyak berkisar dengan kehebatan akademik anak-anak. Ada yang mula membandingkan antara anak-anak rakan sekerja. Ibu bapa yang tak cemerlang akademik anak masing-masing rasa gelisah dan malu semacam. Tapi,jarang benar saya melihat ibu bapa yang berlumba-lumba khuatir melihat masalah sahsiah dan nilai-nilai murni anak-anak.Ramai yang tunggu jika dipanggil guru kalau anak bermasalah. Kenapa? Bukankah akhlak dan sahsiah anak-anak lagi penting. Jarang juga yang mengeluarkan soalan pertama kepada guru tentang sikap anak-anak di sekolah.Ramai ibu bapa yang percaya anak-anak telah dididik sempurna, tentu baik akhlak mereka.Tapi tidak salah sekiranya kita bertanya. Sepanjang bergelar guru juga,kebanyakan anak-anak didik sekarang ni kurang beradab terutama dalam hal menjaga adab bertutur dengan guru. Ramai yang menggunakan nama guru sahaja ketika berbual sesama rakan. Telah hilang kata panggilan Puan atau cikgu dihadapan. Contoh" Zamri datang tak hari ni?" Perkataan cikgu atau Encik Zamri telah hilang jika mereka bertutur tanpa kehadiran guru. Ramai juga yang berani melawan secara berhadapan dengan guru sama ada melalui pertuturan atau perbuatan. Ramai juga yang tidak mahu meminta maaf jika melakukan kesalahan.Pendek kata, adab dan nilai-nilai murni banyak yang telah sirna daripada anak-anak didik zaman ini.Jika diselidik kebanyakan anak-anak didik datang daripada keluarga berpendidikan, ibu bapa berkerjaya hebat juga ada. Tentu ibu bapa tidak dipanggil oleh guru jika faktor adab tidak dibuat oleh anak-anak, melainkan kebiadaban itu keterlaluan seperti memaki guru, atau melanggar peraturan sekolah. Tentu tidak guru maklumkan jika aspek adab seperti memanggil nama guru seperti saya nyatakan di atas. Kalau semua hendak dimaklumkan rasanya guru tidak akan mampu menghabiskan sukatan. Ramai ibu bapa yang tidak sedar kadang kala anak-anak mereka seolah-olah ada 2 personaliti yang berbeza.Sangat baik ketika bersama ibu bapa,tetapi di sekolah bersama rakan watak mereka bertukar dan berbeza. Justeru, ramai juga ibu bapa yang terlalu mempercayai bulat-bulat kata-kata anak mereka. Justeru,selidik dulu sahsiah dan akhlak anak-anak kita sebelum menyelidik perihal akademik anak-anak. Kecemerlangan akademik akan hadir juga kalau akhlak dan sahsiah anak-anak kita cemerlang.Percayalah....

Monday, June 4, 2012

Budi Bahasa

Apabila disebut perkataan budi bahasa,bahasa minda akan menggambarkan tingkah laku yang sopan, tutur kata yang lembut,dan tentunya kita mudah membayangkan insan yang sedemikian dalam hidup kita.Barang kali mungkin kita mudah membayangkan ibu, adik-beradik, guru, rakan-rakan,dan saudara-mara.Tentulah kerana mereka antara insan paling rapat dalam kehidupan kita.Persoalannya benarkah mereka antara contoh terbaik insan berbudi bahasa dalam kehidupan kita? Jika ya, alhamdulilah. Budi bahasa tidak boleh dilakonkan sepanjang hari.Kenapa? kalau dilakonkan pun lazim hanya seketika waktu kita menyedarinya tetapi sifat asal kita yang tiada berbudi bahasa akan keluar juga tatkala kita alpa dan lupa kalau bertahan lama pun,empunya diri akan terseksa batinnya.Justeru,budi bahasa sebenarnya banyak kaitannya dengan asuhan ibu bapa, amalan agama dan penerapan nilai murni diri yang sifatnya suka akan kebaikan. Pendek kata, kalau baik empunya diri, memang berakhlak  mulia, baiklah juga budi bahasanya. Asuhan agama yang terbentuk dalam diri juga merupakan benteng mencegah berkelakuan tidak baik,kasar,suka menyakiti dan menggores hati insan lain, biadap dan dan pelbagai sifat buruk yang lain. Semakin kuat kita berpegang kepada adab dan nilai murni, tentu sifat baik akan terserlah jua.  Bagi mereka yang berakhlak mulia tentu mudah kita mengenal sifat-sifatnya,antaranya tutur katanya sopan, tidak mementingkan diri, ramai yang suka dan senang bersahabat dengannya, dan sebagainya.Justeru, pilihan sebenarnya di tangan kita, ingin menjadi insan yang berbudi bahasa atau sebaliknya? Kalau kita suka insan lain berbudi bahasa, kenapa tidak kita juga memilihnya dan menerapkannya dalam kehidupan kita jua.Tidak susah sebenarnya,asalkan  buka minda untuk berubah,insyaallah pintu rahmat dan kebaikan akan terbuka juga oleh Maha Pencipta. Ayuh, tunggu apa lagi?


Friday, April 6, 2012

Adab Ketika Bertutur


Limpahan daripada rahmat yang dikurniakan Ilahi,semua insan sempurna mampu berkata-kata.Setiap hari kita bertutur dan terus bertutur hingga kita bakal menemui yang Esa,barulah lidah kelu dan tidak mampu lagi berkata-kata.Justeru,entah berapa juta atau ratusan jutaan kata-kata yang kita keluarkan saban hari,minggu ke minggu, tahun ke tahun.Subahanaallah. Lantaran itu, agama Islam sering menekankan kepentingan mengamalkan perkataan yang baik-baik sahaja. Dalam budaya Melayu juga, sejak kecil lagi kita telah dididik oleh kedua-dua ibu bapa agar menuturkan kata-kata yang manis,tidak menyinggung perasaan insan lain yang mendengarnya.Tidak dinafikan, setiap tutur kata mencerminkan perilaku individu yang menuturkannya.Jarang benar,kita melihat orang yang berilmu dan beriman sewenang-wenangnya melontarkan kata-kata yang kesat dan kasar. Mereka begitu berhati-hati ketika mengeluarkan mutiara kata-kata daripada mulut mereka.Justeru, kita disarankan agar berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata,kerana terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata buruk padahnya. Benar juga kata pujangga,kata-kata yang baik,mampu melembutkan hati yang keras laksana batu. Ayuh,jangan berlengah, mulai sangat ini, kita wajar bijak menggunakan kata-kata yang baik. Sesungguhnya, sebahagian perkataan itu,ada yang lebih keras daripada batu,lebih tajam daripada tusukan jarum,lebih pahit daripada jadam, justeru gunakanlah perkataan yang baik-baik sahaja,agar tiada insan yang terluka dek kata-kata kita. Jika tidak mampu, diamlah sahaja.






Saturday, January 9, 2010

LIDAH



Lazimnya fungsi lidah yang sering kita gunakan untuk merasa makanan. Menerusi lidah kita dapat membezakan rasa manis, masin, kelat, pahit, tawar dan sebagainya. Apabila pancaindera merasa ini digunakan, isyarat akan disampai kepada sistem otak yang menyatakan bahawa setiap hidangan yang kita jamah sama ada sesuai dengan selera mahupun tidak. Lantaran itu, kerana kecekapan sistem pancaindera ini berfungsi sepenuhnya, maka kita seharusnya berasa bersyukur akan nikmat ilahi ini. Tanpa lidah juga, kita pastinya tidak mampu bertutur. Sistem pertuturan juga ada hubung kaitnya dengan lidah. Perkataan lidah juga ada diguna pakai dalam peribahasa. Antaranya:

  • Lidah air- Hujung air yang baru naik
  • Lidah api- Hujung nyala api
  • Lidah bengkok- Tidak Fasih
  • Lidah bercabang- Munafik, hipokrit
  • Lidah bercabang bagai biawak- Munafik, hipokrit
  • Lidah berputar balik- Munafik, hipokrit
  • Lidah biawak- Munafik, hipokrit
  • Lidah buaya- Kuat makan
  • Lidah Keling- Berputar belita apabila bercakap
  • Lidah kelu- Tidak dapat bercakap
  • Lidah Keras- Tidak fasih
  • Lidah lembut- Bahasa yang sopan
  • Lidah manis- Kata-kata yang mudah didengar orang
  • Lidah masin- Permintaan yang makbul
  • Lidahnya masin- Apa yang disebut, selalu menjadi
  • Lidah Ombak- Hujung ombak yang di hadapan sekali
  • Lidah Panjang- suka menyampaikan cerita
  • Lidah Papan- Bahagian yang menyambungkan papan dengan papan
  • Lidah Patah- Tidak fasih
  • Lidah Pendeta-Kata-kata hikmat
  • Lidah Pengarang- Ruangan editor
  • Lidah perempuan itu ialah senjatanya yang tiada dibiarkannya berkarat- Perempuan yang pandai berkata-kata
  • Lidah Serunai- Bahagian serunai yang mengeluarkan bunyi
  • Lidah tajam-Kata-kata yang menyakitkan hati
  • Lidah tak bertulang- Mudahnya berjanji
  • Lidah terkalang- Tidak dapat bercakap oleh kerana terhutang budi
  • Lidah tiada bertulang- Mudah berjanji
  • Lidah tidak bertulang, salah petik jiwa hilang- Malang oleh kerana tidak pandai menjaga tutur kata
Banyak sungguh perkataan lidah yang digunakan dalam peribahasa. Jika tidak pentingnya lidah dalam kehidupan kita, mana mungkin orang dahulu kala mengaplikasi perkataan tersebut dalam peribahasa. Apa-apa pun setiap anugerah Ilahi harus kita syukuri dan gunakannya untuk kebaikan semua.

Saturday, January 2, 2010

MULUT


Mulut juga merupakan anugerah ilahi yang tidak ternilai harganya. Bayangkan sekiranya kita tidak mempunyai mulut. Wajah kita tentunya akan kelihatan aneh dan menakutkan. Mulut antara anggota yang penting demi menjalani kelangsungan hidup dengan sempurna. Lantaran itu,fungsi mulut yang paling utama ialah untuk menerima makanan untuk menikmati setiap hidangan. Pendek kata mulut penting dalam hidup kita. Tanpa mulut kita tidak akan mampu bertutur dan berkomunikasi dengan sempurna. Melalui mulut juga kita mampu menambah pahala mahupun dosa. Lazimnya kita sering menyalahgunakan fungsi mulut untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Oleh yang demikian mari kita amati perkataan 'mulut' yang digunakan dalam peribahasa.

  • Mulut bagai ekor ayam dihembus- Becok
  • Mulut bajan boleh ditutup, mulut manusia tidak- Manusia tidak pandai menyimpan rahsia
  • Mulut berbisa- Kata-kata yang menyakitkan hati
  • Mulut berus- Tidak pandai menyimpan rahsia
  • Mulut besar- Sombong
  • Mulut bisa- Kata-kata yang menyakitkan hati
  • Mulut bocor- Tidak pandai menyimpan rahsia
  • Mulut busuk- Nafas berbau
  • Mulut buyung dapat dipendam mulut orang bagaimana menyumbatnya- Tidak dapat mengawal daripada bercakap.
  • Mulut disuap pisang,punggung dikait onak- Kata-kata manis yang berniat jahat.
  • Mulut gatal- Tidak berhati-hati bercakap.
  • Mulut hang lebih daripada gedembai- Kata-kata yang menyakitkan hati.
  • Mulut hodoh- Mencarut
  • Mulut kamu harimau kamu, mengerkah kepala kamu- Binasa oleh kata-kata
  • Mulut Kapuk boleh ditutup- Manusia tidak pandai menyimpan rahsia
  • Mulut kotor- Kata-kata keji dan lucah
  • Mulut manis- Kata-kata yang lembut
  • Mulut manis, hati berkait- Kata-kata yang manis tetapi niatnya jahat.
  • Mulut manis jangan percaya, lepas daripada tangan jangan diharap- Jangan percaya orang yang manis kata-katanya.
  • Mulut manis mematahkan tulang- Kata-kata yang lembut dapat melemahkan hati yang keras.
  • Mulut murai- Becok
  • Mulut rambang - Becok
  • Mulut rampus- Memaki-maki
  • Mulut satu, lidah bertopang- Lain yang diucapkan, lain dihati
  • Mulut terlanjur, emas padahnya- kata-kata yang diucapkan mesti ditepati.
  • Mulut terdorong,emas padahnya- Padah kalau mungkir janji
  • Mulut tempayan boleh ditutup,mulut manusia bagaimana menutupnya- Tidak dapat dilarang seseorang itu daripada berkata-kata.
  • Mulut tempaya- Tidak boleh menyimpan rahsia
  • Mulut tajam- Kata-kata yang menyakitkan hati.
  • Mulut sungai- Kuala
Aneh sungguh kebanyakan perkataan 'mulut' yang digunakan dalam peribahasa membawa maksud yang negatif. Mungkin ada benarnya, kerana peribahasa dicipta, dan diambil daripada pemerhatian terhadap keadaan sekeliling oleh masyarakat dahulu kala. Memang sifat manusia jarang menghargai pemberian Ilahi. Oleh itu, belajar menggunakan mulut untuk tujuan kebaikan kepada diri sendiri, lebih-lebih lagi untuk masyarakat seluruhnya. Benarlah kata pepatah kerana mulut badan binasa.

Thursday, December 10, 2009

HIDUNG



Deria kita untuk menghidu tentunya hidung. Melalui rongga hidung juga, kita mampu untuk bernafas.Dengan bernafas,kita mampu untuk menikmati kehidupan yang dianugerahkan oleh Ilahi untuk terus sujud kepada-Nya. Lantaran, peri penting hidung dalam hidup kita, maka tidak mustahil orang tua-tua dahulu menggunakan perkataan tersebut dalam peribahasa. Bermacam-macam perkataan hidung digunakan. Antaranya:

  • Hidung belang-gemar menipu cinta perempuan
  • Hidung dicium,pipi digigit-cinta palsu
  • Hidung laksana kuntum seroja- hidung perempuan yang cantik
  • Hidung putih- sangat gemar kepada perempuan
  • Hidung seperti dasun tunggal- hidung yang mancung
  • Hidung sudah rampung diatur- sudahlah bodoh,tidak sedar pula diri diperbodoh
  • Hidung tak mancung,pipi tersorong-sorong-orang tidak sudi,kita yang hendak
  • Hidung tinggi-Sombong
Itu sahaja,peribahasa yang mampu saya senarai pada hari ini,mungkin banyak lagi perkataan tersebut digunakan. Apa-apa pun jika sudah tahu,kita harus menggunakan,agar perkataan terus kekal dalam memori jangka panjang di kotak fikiran kita. Insyaallah.

Tuesday, December 8, 2009

MATA


Bahagian anggota badan untuk melihat, tentunya mata. Mata penting dalam kehidupan kita, tanpanya kita tidak akan dapat menikmati anugerah ilahi untuk menghayati dan mengagumi kebesaran yang Esa. Lantaran itu, kali ini saya ingin mengupas perkataan mata yang terkandung dalam peribahasa. Berikut merupakan peribahasa yang menggunakan perkataan mata:

  • Mata air- kekasih
  • Mata angin-arah georafis
  • Mata batin- daya atau kebolehan memahami sesuatu tampa berfikir atau membuat secara sedar,gerak hati.
  • Mata bedil- butir pembidik pada laras senapang
  • Mata belalang belum pecah, sudah hendak membuta- hendak tidur malam terlalu awal.
  • Mata benda- barang berharga
  • Mata berkutuk,hati bersetan- orang tidak bermoral,tidak dapat membezakan antara yang buruk dan baik.
  • Mata bisul- lubang bisul
  • Mata bogel- tidak berkaca mata
  • Mata buku- ruas jari
  • Mata bulan- bulan yang nampak samar
  • Mata cemperling- mata yang merah warnanya
  • Mata cincin- permata pada cincin
  • Mata dabus- besi tajam yang digunakan dalam permainan dabus
  • Mata dacing-ukuran timbangan pada dacing
  • Mata dagangan- barang-barang dagangan
  • Mata dekat- tidak dapat melihat kalau jauh
  • Mata duitan- mementingkan wang
  • Mata duli- buku lali
  • Mata gawai- pembantu
  • Mata gelap- mengamuk oleh sebab marah
  • Mata gergaji- gerigi gergaji,orang yang memihak
  • Mata gunting-bahagian tajam pada gunting
Ini baru peribahasa yang menggunakan perkataan mata. Banyak juga daripada perkataan mata itu yang jarang-jarang diguna pakai oleh generasi masa kini. Pendek kata, banyak yang saya tidak pernah mendengarnya pun, apatah lagi untuk menggunakannya. Semoga selepas ini ada antara peribahasa tersebut akan cuba saya terapkan dalam pertuturan. Insyaallah.