Saturday, January 9, 2010

LIDAH



Lazimnya fungsi lidah yang sering kita gunakan untuk merasa makanan. Menerusi lidah kita dapat membezakan rasa manis, masin, kelat, pahit, tawar dan sebagainya. Apabila pancaindera merasa ini digunakan, isyarat akan disampai kepada sistem otak yang menyatakan bahawa setiap hidangan yang kita jamah sama ada sesuai dengan selera mahupun tidak. Lantaran itu, kerana kecekapan sistem pancaindera ini berfungsi sepenuhnya, maka kita seharusnya berasa bersyukur akan nikmat ilahi ini. Tanpa lidah juga, kita pastinya tidak mampu bertutur. Sistem pertuturan juga ada hubung kaitnya dengan lidah. Perkataan lidah juga ada diguna pakai dalam peribahasa. Antaranya:

  • Lidah air- Hujung air yang baru naik
  • Lidah api- Hujung nyala api
  • Lidah bengkok- Tidak Fasih
  • Lidah bercabang- Munafik, hipokrit
  • Lidah bercabang bagai biawak- Munafik, hipokrit
  • Lidah berputar balik- Munafik, hipokrit
  • Lidah biawak- Munafik, hipokrit
  • Lidah buaya- Kuat makan
  • Lidah Keling- Berputar belita apabila bercakap
  • Lidah kelu- Tidak dapat bercakap
  • Lidah Keras- Tidak fasih
  • Lidah lembut- Bahasa yang sopan
  • Lidah manis- Kata-kata yang mudah didengar orang
  • Lidah masin- Permintaan yang makbul
  • Lidahnya masin- Apa yang disebut, selalu menjadi
  • Lidah Ombak- Hujung ombak yang di hadapan sekali
  • Lidah Panjang- suka menyampaikan cerita
  • Lidah Papan- Bahagian yang menyambungkan papan dengan papan
  • Lidah Patah- Tidak fasih
  • Lidah Pendeta-Kata-kata hikmat
  • Lidah Pengarang- Ruangan editor
  • Lidah perempuan itu ialah senjatanya yang tiada dibiarkannya berkarat- Perempuan yang pandai berkata-kata
  • Lidah Serunai- Bahagian serunai yang mengeluarkan bunyi
  • Lidah tajam-Kata-kata yang menyakitkan hati
  • Lidah tak bertulang- Mudahnya berjanji
  • Lidah terkalang- Tidak dapat bercakap oleh kerana terhutang budi
  • Lidah tiada bertulang- Mudah berjanji
  • Lidah tidak bertulang, salah petik jiwa hilang- Malang oleh kerana tidak pandai menjaga tutur kata
Banyak sungguh perkataan lidah yang digunakan dalam peribahasa. Jika tidak pentingnya lidah dalam kehidupan kita, mana mungkin orang dahulu kala mengaplikasi perkataan tersebut dalam peribahasa. Apa-apa pun setiap anugerah Ilahi harus kita syukuri dan gunakannya untuk kebaikan semua.

No comments:

Post a Comment