
Limpahan daripada rahmat yang dikurniakan Ilahi,semua insan sempurna mampu berkata-kata.Setiap hari kita bertutur dan terus bertutur hingga kita bakal menemui yang Esa,barulah lidah kelu dan tidak mampu lagi berkata-kata.Justeru,entah berapa juta atau ratusan jutaan kata-kata yang kita keluarkan saban hari,minggu ke minggu, tahun ke tahun.Subahanaallah. Lantaran itu, agama Islam sering menekankan kepentingan mengamalkan perkataan yang baik-baik sahaja. Dalam budaya Melayu juga, sejak kecil lagi kita telah dididik oleh kedua-dua ibu bapa agar menuturkan kata-kata yang manis,tidak menyinggung perasaan insan lain yang mendengarnya.Tidak dinafikan, setiap tutur kata mencerminkan perilaku individu yang menuturkannya.Jarang benar,kita melihat orang yang berilmu dan beriman sewenang-wenangnya melontarkan kata-kata yang kesat dan kasar. Mereka begitu berhati-hati ketika mengeluarkan mutiara kata-kata daripada mulut mereka.Justeru, kita disarankan agar berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata,kerana terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata buruk padahnya. Benar juga kata pujangga,kata-kata yang baik,mampu melembutkan hati yang keras laksana batu. Ayuh,jangan berlengah, mulai sangat ini, kita wajar bijak menggunakan kata-kata yang baik. Sesungguhnya, sebahagian perkataan itu,ada yang lebih keras daripada batu,lebih tajam daripada tusukan jarum,lebih pahit daripada jadam, justeru gunakanlah perkataan yang baik-baik sahaja,agar tiada insan yang terluka dek kata-kata kita. Jika tidak mampu, diamlah sahaja.
No comments:
Post a Comment