Monday, September 28, 2009

Tugasan Guru Membebankan?

Apabila dibincang tentang skop tugasan guru, ramai guru-guru yang mula mengeluh. Dalam mesyuarat guru yang pertama yang sering diadakan pada akhir bulan Disember, perkara pertama yang semua cikgu nak tahu ialah tentang tugasan yang bakal mereka terima pada tahun semasa. Masing-masing tak sabar-sabar nak buka buku agihan tugas. Selepas itu, akan muncullah pelbagai reaksi daripada guru-guru. Ada yang gembira, ada yang berduka, ada yang tak kisah langsung dan pendek kata macam-macam reaksi ada. Bagi yang gembira, mungkin tugas yang diberikan lebih ringan daripada tahun sebelumnya. Bagi yang berduka, tentulah beban tugas lebih banyak atau terpaksa memegang jawatan yang tidak diingini. Akan timbul pelbagai gosip, mula menyalahkan pihak pentadbiran yang tak peka terhadap kakitangan bawahan, guru baru merasakan tidak adil kerana beban tugas mereka jauh lebih banyak daripada guru senior, guru senior pula mula merasakan beban tugas semakin bertambah kerana tugasan yang diberikan lebih mencabar, termasuk menjadi setiausaha peperiksaan, ketua panitia dan sebagainya. Kalut situasi pada awal tahun. Alhamdulilah, tak pernah lagi saya dengar berlaku perang dunia antara guru dalam hal ini. Itulah kelebihan guru, kerana mereka mengamalkan etika kerja profesional. Kalau ada pun, gosip sekejap sahaja. Al maklumlah guru juga merupakan insan biasa, yang tak lepas daripada melakukan kesalahan.

Cuma, apabila menyentuh hal ini, saya merasakan semua guru harus meletakkan diri masing-masing ke dalam situasi rakan yang kita sering kritik. Kita sering menyalahkan pihak lain tetapi cuba bayangkan jika kita berada dalam situasi tanggungjawab mereka pula. Apa yang akan kita lakukan? Adakah kita akan melakukan perkara yang sama, atau sebaliknya? Berdasarkan pengalaman saya, saya dapati lazimnya perkara yang kita gemar kritik akan berlaku pula terhadap diri kita sendiri. Saya tidak pula bermaksud, bahawa kita tidak boleh mengkritik tetapi kritikan yang dilakukan hendaklah datang daripada hati yang ikhlas, ingin membantu, atau memberi kritikan yang membina. Lazimnya kritikan sebegini akan mengeratkan silaturahim sesama rakan sejawat mahupun sesama insan.

Terus terang saya katakan saya gemar dikritik daripada saya hanyut dengan kata-kata ampu orang lain, yang entahkan ikhlas, entahkan tidak. Oleh sebab itu, saya akan meminta anak didik saya memberi komen membina bagi membantu saya memantapkan lagi proses pengajaran saya. Selalunya 2 bulan sekali saya meminta mereka memberi kritikan yang mantap terhadap proses pengajaran saya. Begitu juga jika proses pencerapan hendak dilakukan, perkara pertama pertama saya pesan kepada kepada pengetua, dan ketua bidang, tolong kritik jika nampak kekurangan dalam proses pengajaran saya. Alhamdulilah saya tak pernah kecewa dan kecil hati jika mereka mengkritik saya. Memang patut pun kalau kesilapan yang kita lakukan ditegur, terima dengan hati yang terbuka.
Banyak perkara yang akan kita belajar jika kita bersedia untuk menerima pembaharuan dan perubahan. Belajarlah selagi kedua-dua mata kita tidak tertutup untuk selama-lamanya. Terima ilmu untuk diamalkan bukan untuk diketahui sahaja. Anggap tugas yang kita terima adalah sebahagian daripada proses untuk menimba ilmu. Insyaallah kita tak akan stress, malah dapat pahala daripada yang maha Esa. Oleh itu,elakkan mengganggap tugas yang diberi sebagai satu bebanan. Insyaallah, tuhan akan permudahkan jika kita benar-benar ikhlas.




Tugas Tambahan Jejas Keupayaan Guru?

Oleh Azrul Affandi Sobry


AWAL tahun, hari sukan, hari kokurikulum, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), hari terbuka, musim peperiksaan, pertandingan peringkat daerah dan negeri, minggu suai kenal serta banyak lagi beban kerja yang selama ini terpaksa ditanggung guru sehingga sering kali memberi tekanan kepada mereka.

Guru kini bukan sekadar pengajar, malah semakin kurang dapat memberi tumpuan kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran, walaupun semua pihak menekankan kewajipan itu sebagai skop tugas utama guru di sekolah. Memang benar, jengoklah ke mana-mana sekolah, atau tanyalah kepada mana-mana guru pun, pasti keluhan dan rungutan yang akan kedengaran mengenai tumpuan tugas mereka yang semakin hari semakin membebankan.

Itulah gambaran yang sewajarnya dilihat bagi menceritakan betapa guru kini tidak seperti guru pada satu zaman sebelum ini yang dihormati atas kredibiliti sebagai guru yang tegas dalam menyampaikan pengajaran serta cukup disegani atas kedudukan sebagai gedung ilmu.

Banyak pihak yang mungkin mencebik, menjuih bibir apabila guru merungut mengenai beban yang mereka hadapi. Tak kurang juga yang mengatakan guru ketika ini manja dan banyak 'songeh' serta pelbagai kritikan lagi seperti sudahlah kerja separuh hari, cuti banyak pula, itupun nak merungut'.

Namun, mereka yang kebanyakannya menyalahkan guru dalam isu rungutan itu mungkin tidak peka mengenai situasi sebenar kerjaya itu ketika ini yang bukan sekadar kerap perlu bekerja melebihi masa sepatutnya, malah dibebani dengan longgokan kerja yang ada kalanya tak selesai di sekolah, terpaksa dibawa sehingga atas katil sebelum tidur.

Hampir kebanyakan tugas yang selayaknya diuruskan kerani atau pegawai data kini menjadi tanggungjawab guru. Daripada tugas merekod maklumat murid, data peribadi, keputusan peperiksaan secara manual dan berkomputer, bayaran yuran, rekod pinjaman buku teks, inventori aset sekolah sehinggalah kepada urusan pada peringkat pejabat pendidikan daerah serta jabatan pelajaran negeri.

Justeru, tak wajar guru dulu dan sekarang dijadikan perbandingan kerana pada zaman berteknologi maklumat serba canggih ini, semuanya perlu direkodkan secara berkomputer walaupun rekod bertulis turut perlu dibuat dan yang menyedihkan, bukan semua guru ada komputer atau lebih parah lagi, tak semuanya celik komputer.

Sebagai contoh, setiap tahun guru perlu mengemaskini maklumat murid serta data peribadinya. Tak cukup dengan itu, kutipan yuran perlu dibuat sendiri dan direkodkan dengan kemas. Maklumat lain termasuk rekod pinjaman buku teks dan keputusan peperiksaan perlu dikemas kini segera.

Bagi guru yang ditugaskan mengepalai panitia pula, beban itu ditambah dengan keperluan menyediakan kertas soalan peperiksaan hampir setiap dua atau tiga bulan. Ada pula guru yang mahir sedikit dalam reka bentuk grafik ditugaskan pula menyediakan grafik untuk majalah sekolah.

Tidak perlulah diperincikan semua beban tugas lain yang perlu lakukan kerana realitinya itu bukan tugas utama guru di sekolah, malah tak pernah diajar ketika mereka mengambil kursus perguruan di Institut Pendidikan Guru (IPG). Guru kelas pula pastinya sering merungut setiap kali musim kemas kini data tiba dan mereka ini juga yang kebiasaannya ditugaskan sebagai guru panitia, guru pembimbing rumah sukan serta kelab.

Persoalannya, bukankah semua beban tugas itu sewajarnya dilakukan oleh mereka yang lebih pakar dalam tugas merekod data atau maklumat. Bukankah kerja membabitkan kewangan perlu dilaksanakan kerani kewangan dan perihal data pula diuruskan oleh pegawai data? Memang ada guru data di sekolah, tetapi mereka sebenarnya bukan fokus dalam hal data semata-mata kerana perlu juga mengajar di kelas, malah ada yang perlu mengajar subjek kritikal.

Guru IT pula hanya layak mengajar asas komputer seperti menggunakan perisian Microsoft Word, Powerpoint atau Excel tanpa ada skil membuat sistem data yang lebih memudahkan guru memasukkan maklumat secara pantas dan pengiraan markah peperiksaan dibuat secara berkomputer, malah guru IT juga guru biasa yang perlu mengajar.

Pengerusi Majlis Permuafakatan Kesatuan Guru Malaysia, Jemali Paiman, berkata kementerian wajar mewujudkan satu jawatan baru di sekolah iaitu staf sokongan yang ditugaskan merekodkan data.

"Ketika ini, guru terutama guru kelas adalah mereka yang paling teruk dibebani dengan tugas tambahan selain mengajar dan ia paling kritikal ketika musim persekolahan baru bermula. Ketika itu, guru bukan setakat perlu menyediakan maklumat peribadi pelajarnya tetapi dibebani dengan banyak lagi tugas lain.

"Mereka perlu mengutip yuran, sediakan buku kedatangan pelajar, dapatkan maklumat murid serta keluarga mereka seterusnya membuat analisis kelayakan untuk diberi bantuan, malah guru juga bertindak sebagai pegawai kesihatan yang merekodkan maklumat kesihatan.

"Justeru, penambahan jawatan staf sokongan itu amat penting untuk mengembalikan guru kepada tugas sebenar mereka iaitu mengajar. Mereka perlu fokus untuk pengajaran, bukan dalam kerja pekeranian. Jangan biarkan mereka terus buat banyak kerja lain setiap hari dan pening kepala setiap hujung bulan," katanya.

Jemali turut bersetuju bahawa guru kini bukan sekadar layak digelar kerani tetapi mungkin tukang kebun, pengasuh, pereka grafik, tukang cat dan semua beban kerja yang dilonggokkan ke bahu mereka. Katanya, masa yang lapang hanya dua atau tiga waktu tetapi mengikut pekeliling, ia perlu diisi dengan persiapan mengajar.

"Cuti tahunan atau cuti rehat khas hanya ada tujuh hari. Mana cukup untuk digunakan apabila perlu. Berbeza dengan sektor lain, mereka ada tempoh cuti tahunan lebih panjang dan dapat fokus pada skop kerja mereka.

"Contohnya, mana ada jururawat yang ditugaskan membuat landskap hospital. Mana ada jurutera yang ditugaskan mengecat bangunan pejabat, tapi guru ada ketikanya perlu buat semua itu. malah, mural sekolah atau mengecat bangunan sekolah juga tergalas di bahu mereka," katanya.

Justeru, adalah wajar kementerian memantau apa keperluan dan keperitan yang dihadapi penggerak utama dalam sektor pendidikan di negara ini. Jangan satu hari nanti, kerjaya guru tidak lagi dipandang tinggi lantaran tidak lagi bertindak sebagai penyampai ilmu berkaliber kerana terlalu fokus pada tugas lain.

Rahsia pelajar cemerlang

Ramai tertanya-tanya, mengapa mereka masih tidak mencapai kecemerlangan walaupun telah mentelaah mata pelajaran berjam-jam sehari?


BERDOA dan bersyukurlah dengan hasil yang diterima dalam peperiksaan kerana ia melambangkan usaha yang telah dilakukan. - Gambar hiasan


MENJADI seorang yang cemerlang adalah idaman setiap pelajar. Namun tidak ramai menyedari bahawa untuk menjadi seorang yang cemerlang, usaha bukan hanya tertumpu kepada mentelaah buku semata-mata, tetapi juga melibatkan rangkaian beberapa usaha lain.

Mungkin ramai tertanya-tanya, mengapa mereka masih tidak mencapai kecemerlangan walaupun telah mentelaah mata pelajaran berjam-jam sehari.

Pernahkah mereka terfikir bahawa usaha itu harus diselangi dengan doa, memperbaiki diri sebagai insan dan sebagainya.

Kosmo! menyenaraikan beberapa tip membentuk diri menjadi seorang pelajar yang cemerlang sekali gus membentuk diri menjadi insan yang disenangi ramai.

Sentiasa berfikiran positif

Berfikiran positif membantu pelajar membina imej yang meyakinkan, seterusnya membawa perubahan yang baik terhadap pelajaran dan kendiri. Berfikiran positif juga menjadikan pelajar sentiasa ceria dan seronok belajar. Ini boleh membantu proses pembelajaran. Namun, jangan terlebih seronok, nanti orang tersalah anggap pula. Orang yang berfikiran negatif pula mempunyai 10 kali ganda peluang mendapat sakit berbanding dengan mereka yang berfikiran positif.

Nyatakan matlamat

Sentiasa sasarkan satu matlamat sebelum melakukan sesuatu kerana mereka yang mempunyai matlamat lebih mudah mencapai kejayaan yang mereka ingini. Matlamat yang jelas dan hebat dapat membakar semangat. Pastikan matlamat yang diletakkan itu adalah satu matlamat yang membina. Namun, matlamat tanpa usaha tidak membawa erti apa-apa.

Menjaga kesihatan fizikal dan mental

Menjaga kesihatan adalah paling utama supaya pelajar berada dalam kondisi yang terbaik untuk menimba ilmu. Apabila badan dan minda berada dalam keadaan terbaik, pembelajaran akan mudah diterima. Sering bersenam dan berfikiran positif. Elakkan stres yang melampau dan sesekali cuba melakukan aktiviti riadah supaya diri dapat mencapai ketenangan yang ideal. Terlalu berfikir mengenai pembelajaran dan kejayaan juga boleh mengakibatkan minda pelajar menjadi sangat stres. Cuba elakkannya dengan mencari jalan terbaik untuk mengulang kaji pelajaran.

Menjaga pemakanan

Aspek pemakanan juga harus dititik beratkan kerana pemakanan yang seimbang penting bagi menjana pemikiran yang cerdas dan memori yang tajam.

Pelajar boleh mengingati sehingga 90 peratus bahan yang dipelajari apabila diaplikasikan ketika menjawab soalan berkaitan dengan bahan yang dibaca.


KAEDAH belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. - Gambar hiasan


Cara belajar yang baik

Belajar dengan baik tidak semestinya mentelaah dari pagi sehingga malam. Pelajar harus tahu bagaimana untuk belajar mengikut kesesuaian diri. Ada yang suka belajar secara berkumpulan dan ada yang suka bersendirian. Cari kesesuaian diri anda. Cari tempat tenang untuk belajar. Ramai pelajar suka mentelaah sambil mendengar muzik. Ia adalah perkara yang patut dielakkan kerana belajar sambil mendengar muzik mengurangkan tumpuan dan menghakis keberkatan ilmu. Kaedah belajar paling berkesan adalah dengan melakar peta minda. Tetapi cuma 20 peratus pelajar yang belajar menggunakan peta minda.

Bergaul dengan positif

Apabila seseorang mempunyai ramai kawan, maka dia akan mempunyai pandangan yang luas kerana boleh bertukar-tukar pendapat berbanding dengan mereka yang lebih suka menyendiri. Kawan boleh menegur setiap kesalahan kita kerana kita tidak dapat melihat kekurangan diri. Namun, pelajar juga harus bijak memilih kawan. Peribadi dan prestasi kita sering dipengaruhi oleh kawan-kawan. Justeru, carilah kawan yang positif dan cemerlang.

Bersyukur

Pelajar harus bersyukur dengan setiap hasil yang diterima dalam peperiksaan kerana ia melambangkan usaha yang telah dilakukan. Jangan salahkan orang lain di atas kegagalan yang kita alami. Jangan juga dengki dengan kejayaan orang lain, sebaliknya ringankan mulut untuk bertanya rahsia mereka. Dekatkan diri dengan tuhan tidak kira apa agama sekali pun. Pelajar juga harus sedia memberi bantuan kepada rakan-rakan lain dan jangan kedekut ilmu. Perbincangan satu kumpulan mampu mendapat keputusan yang terbaik.

Bersedia untuk gagal

Kegagalan adalah lumrah kehidupan. Bersedia untuk mengalaminya kerana disebalik kejayaan, pasti ada kegagalan. Jika kejayaan yang dikecapi itu adalah hasil usaha daripada kegagalan, ia akan lebih bermakna dan diingati. Belajar daripada kesilapan dan cuba cari jalan penyelesaian terbaik untuk memperbaiki kegagalan itu agar ia menjadi kejayaan.


PELAJAR yang ramai kawan akan mempunyai pandangan yang lebih luas dalam pelajaran. - Gambar hiasan


Hargai pendidik

Pendidik adalah tonggak utama kepada kejayaan seorang pelajar. Cuba tunjukkan penghargaan kepada mereka, bukan sahaja apabila anda mendapat kejayaan yang diingini tetapi juga apabila tiba hari-hari tertentu seperti Hari Guru atau hari lahir mereka. Doa pendidik sentiasa dimakbulkan tuhan. Jangan lupa juga kepada ibu bapa kita kerana anak yang derhaka tidak akan mencapai kejayaan.

Usaha yang seimbang

Akhir sekali adalah usaha. Kejayaan tidak datang begitu sahaja tanpa usaha. Namun ia harus diseimbangkan. Jika hanya berusaha mempraktikkan segala tip di atas tanpa mentelaah buku, kejayaan tidak akan dapat dikecapi. Namun, jika hanya mengadap buku tanpa usaha-usaha di atas, kejayaan juga jauh daripada genggaman.

Sumber: Kosmo

Sunday, September 27, 2009

SENTUHAN IKHLAS 4 AMANAH 09



Cikgu pun sayang kamu semua.Tak percaya?




Kenapa tidak guna Bahasa Melayu?



Hasil yang tidak mengecewakan.



Bukankah senang tidak perlu hendak siram tiap-tiap hari
mekar bertahun-tahun.



Eric Leong tengok pun mesti teruja!

MENGECAT KELAS



Bertungkus-lumus mengecat kelas 4 Amanah




Anak didikku yang amat bertanggungjawab



Suasana kelas ketika proses mengecat



Cat cepat jangan pandang kamera!


Terima kasih kerana melukis gambar bunga kegemaran cikgu 'hydrangea' atau nama Melayunya Bunga Tiga Bulan.

Saturday, September 26, 2009

He, he, he, he, he... Kejadian seram di wad ICU

SALAH sebuah katil dalam bilik ICU sebuah hospital kerap mengalami kejadian pelik. Setiap pesakit ditempatkan di situ pasti akan meninggal dunia pada setiap Jumaat pagi tanpa mengira umur, jantina atau tahap kesihatan mereka.

Perkara itu membingungkan doktor lalu mereka memutuskan untuk memantau katil berkenaan.

Pada Jumaat berikutnya, beberapa doktor bersiap sedia untuk mengenal pasti penyebab kepada kematian di katil berkenaan.

Seorang pesakit lelaki sedang tidur di katil misteri itu. Masa berputar dari jam 7 pagi, 8.30 pagi sehinggalah jam 9 pagi. Tiba-tiba pintu bilik ICU itu terbuka dan kelihatan Makcik Bedah, seorang pekerja sambilan sebagai pencuci yang hanya bertugas setiap Jumaat masuk.

Dia mendekati katil berkenaan dan terus mencabut soket elektrik yang dipasang alat bantuan pernafasan pesakit dan menggantikannya dengan plag ‘vacum cleaner'nya...

NIZA,
Shah Alam.

Burung Kakak Tua

Di sebuah kedai menjual burung ada dua ekor burung kakak tua. Kedua-dua burung itu berbeza, yang seekor suka menyanyi dan seekor lagi hanya diam.

Datang seorang lelaki ingin membeli burung kakak tua. Dia menanyakan harga kepada si penjual burung.

Pembeli: Berapa harga burung Kakak Tua ini?

Penjual: Kalau yang suka menyanyi itu RM500, yang diam tu RM1,000.

Pembeli: Ahhh...?? Kenapa yang suka menyanyi lebih murah daripada yang diam?

Penjual: Yaa...memang berbeza, yang berharga RM1,000 itu ialah pencipta lagunya.

RASHID,
Machang.

Helah Memancing

SATU petang seorang tua duduk merokok di tepi paya dengan sebatang pancing.

Orang ramai melihatnya kehairanan, ada kasihan dan ada juga ketawa.

Tiba-tiba seorang pemuda menghampirinya dan bertanya:

Lelaki: Pakcik ni memancing untuk apa?

Orang tua: Untuk makan

Lelaki: Oh...kalau macam tu.. ikut saya makan...saya belanja..

Pada mulanya orang tua itu agak malu-malu, selepas dipaksa akhirnya dia mengalah.

Sambil makan mereka berbual.

Lelaki: Pakcik memancing di paya tu ada ikan ke?

Orang tua: Oh ada.

Lelaki: Biar betul pakcik ni...dah berapa ekor dapat?

Orang tua: Kamu orang yang kelima.

TOK JAI
Serkam.

Friday, September 25, 2009

Pendekatan Modular dilaksanakan tingkatkan pembelajaran BM


Oleh Khairina Yasin ( Berita Harian)

KEMENTERIAN Pelajaran akan memperkenalkan pendekatan modular dalam Kurikulum Standard Bahasa Malaysia sebagai satu daripada strategi pelaksanaan dasar Memartabatkan Bahasa Malaysia (MBM) bermula 2012. Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Sektor Dasar dan Pembangunan, Kementerian Pelajaran, Dr Haili Dolhan, berkata pendekatan itu satu daripada usaha penambahbaikan kurikulum sedia ada yang lebih menekankan konsep huraian sukatan pelajaran. Menerusi pendekatan modular, katanya, kurikulum digubal dan disampaikan mengikut bahagian dan unit lengkap dengan gabungan pengetahuan, kemahiran dan nilai bersepadu yang seimbang serta holistik.

“Penambahbaikan ini dibuat bagi memastikan kurikulum BM di semua peringkat sekolah sentiasa relevan dan bersepadu bagi melahirkan insan seimbang. “Ia juga satu mekanisme mantap, bestari dan berkesan bagi memastikan kedudukan BM sebagai bahasa kebangsaan dan pengantar di sekolah terus kukuh,” katanya kepada Berita Harian di Putrajaya, baru-baru ini. Beliau menjelaskan, tumpuan akan diberikan kepada murid prasekolah menerusi modul penguasaan asas berbahasa dimulai dengan pradengar, prabaca dan pratulis, selain mengenal abjad serta perkataan.

Katanya, modul itu bertujuan memastikan murid mendapat asas dan landasan kukuh untuk menguasai kemahiran berbahasa merangkumi kemahiran mendengar, menulis, membaca dan bertutur dalam BM dengan baik. “Pelaksanaan secara berstruktur dan sistematik menerusi proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) secara berkesan diyakini dapat membantu murid memantapkan kefahaman dan penggunaan BM yang tepat. “Setiap kemahiran akan didedahkan menerusi modul masing-masing yang dibangunkan menepati keperluan penguasaan BM murid,” katanya. Selain itu, Haili berkata, elemen seni bahasa juga akan diketengahkan menerusi aplikasi kemahiran bahasa dan pendekatan didik hibur yang menyeronokkan.

Pendekatan didik hibur, katanya, akan dijelmakan menerusi penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi bagi mewujudkan proses P&P interaktif dan menyeronokkan. “Malah elemen sastera BM kontemporari kepada murid tahap dua sekolah rendah juga akan diperkenalkan sejajar dengan pelaksanaan komponen sastera BM atau Komsas di sekolah menengah sejak tahun 2000,” katanya.

JADIKAN KEMATIAN SEBAGAI MUHASABAH


SETIAP makhluk yang bernyawa pasti mati. Perkara kematian adalah pasti dan semua manusia pasti melaluinya. Mungkin sebelum ini, kita pernah mengiringi jenazah ahli keluarga, sanak saudara atau rakan. Sudah tentu suasana hiba dan penuh sayu menyelubungi setiap insan yang menghantar jenazah berkenaan ke tanah perkuburan.Yang sudah mati akan berhadapan dengan Allah, tetapi kita yang masih hidup yang mengiringi jenazah itu bagaimana? Tidakkah terlintas di sanubari menginsafi diri yang suatu ketika nanti beginilah keadaannya apabila sekujur tubuh tanpa nyawa diusung dalam keranda ke tanah perkuburan! Sepatutnya inilah detik yang membuka ruang keinsafan lalu bermuhasabah diri demi membetulkan segala dosa silam yang pernah kita lakukan. Seharusnya ketika itulah saat paling murni buat sesiapa saja yang mengiringi jenazah itu membayangkan beginilah diriku yang akan diusung apabila aku mati nanti! Alangkah indahnya jika kematian membuahkan keinsafan hakiki lalu menjernihkan lubuk hati setiap pengiring jenazah. Janganlah hendaknya timbul gelak ketawa dan suara hiruk pikuk hingga peristiwa kematian menjadi peristiwa biasa sahaja.

Janganlah kawan. Marilah kita ambil pengajarannya untuk membaik pulih diri. Ingat kawan, kematian itu datang secara tiba-tiba. Tetapi tanda dan amaran mengenai kematian sentiasa dijelmakan secara jelas dan nyata. Apa tidaknya, cuba lihat rambut kita. Cubalah lihat pada kadar penglihatan mata kita. Makin hari makin beruban. Dari sehari ke sehari semakin kabur mata kita. Bukankah itu tanda kematian kita? Jadi, kenapa perlunya menangguhkan taubat? Mengapa liat dan lalai bermuhasabah diri? Jika kita masih lalai dan seolah-olah melupakan kematian, bermakna pengalaman kita mengiringi jenazah tidak memberi makna. Mengapa pula perlunya aku mengingati hal kematian ini? Bukankah aku masih muda, masih bertenaga, kuat dan sihat? Ah, aku perlu berpandangan ke hadapan. Mengejar masa depan dengan terus tekun mencari kekayaan dan kemewahan. Apabila tua nanti barulah aku bertaubatlah! Jika inilah yang selalu melingkari fikiran dan hati kita, maka ingatlah yang kita sedang dihanyutkan syaitan. Nauzubillah. Cuba lihat di sekeliling kita selama ini. Ada bayi yang baru lahir sudah meninggal dunia. Ada pula kanak-kanak yang sedang periang nakal yang menjadi buah hati ibu bapa tiba-tiba mati. Ada pula yang sedang muda remaja sudah pergi menghadap Tuhannya. Jadi apa makna ini semua? Inilah yang dikatakan kematian tidak mengenal usia dan tidak bertempat. Belajarlah dan ambillah iktibar daripada peristiwa yang dipertontonkan Allah kepada kita. Sesungguhnya manusia yang paling bijaksana ialah mereka yang sentiasa mengingati kematian. Apa-apa saja yang dilakukan dan di mana-mana saja, kematian sentiasa menjadi ingatan dalam hatinya, lalu dia sentiasa ingat Tuhan. Beruntungnya manusia begini. Ini kerana jika kita ingat Allah dan sudah tentu Allah juga mengingati kita. Ruang lingkup kehidupannya di dunia dilalui atas landasan yang diredai Allah. Manusia sebegini sudah tentu sentiasa ingin memperbanyak amal ibadah dan beramal soleh. Habluminallah dijaga, habluminannas dipelihara rapi kerana baginya beramal ibadah dan beramal soleh adalah bekalan untuk kematiannya sebagai hadiah untuk Tuhannya. Kata Imam al-Ghazali, “Mengingati kematian itu menghasilkan kemanisan iman dan sekaligus menguatkan rasa berTuhan dan taqarrub kepada Allah.” Mengingati mati akan melembutkan hati dan jiwa yang keras. Percayalah, hati kita menjadi lembut apabila sentiasa mengingati Allah dan selalu ingat kematian. Dikisahkan iaitu ibu saudara Nabi s.a.w dan ibu kepada Saidina Zubair Ibnu ‘Awwam iaitu Sayyidah Safiyyah binti Abdul Mutalib menceritakan, “Ada seorang perempuan datang bertemu Aisyah r.a lalu dia mengadu mengenai hatinya yang keras dan kusut. Lalu dikatakan oleh Aisyah r.a, perbanyakkanlah mengingati mati, nanti akan lembut dan tenang hatimu.” Kemudian perempuan itu beredar meninggalkan Aisyah yang kemudian mengamalkan apa yang telah dipesan Aisyah. Hasilnya, hati perempuan itu menjadi tenang dan kembali lembut. Kemudian dia berkunjung semula menemui Aisyah untuk mengucapkan terima kasih atas nasihat Aisyah itu. Demikianlah ceritanya bagaimana hati seseorang yang keras dan tidak tenang dapat dilembutkan dengan mengingati mati. Jadi jika kita menghadapi apa saja masalah dalam kehidupan, maka ingatlah hal kematian. Insya-Allah kita kembali menjadi segar dan bertenaga untuk memacu arus kehidupan dengan pedoman diredai Ilahi. Oleh itu, jadikanlah kematian itu sebagai penasihat kepada kita agar sentiasa menjalani hidup dengan mengamalkan apa yang menepati kehendak Allah. Jadikanlah diri kita orang yang paling banyak mengingati mati dan paling tekun berusaha mempersiapkan diri menghadapinya. Ini kerana Rasulullah mengatakan orang yang paling cerdik adalah orang yang paling banyak mengingati mati.
Sumber: Harian Metro

Thursday, September 24, 2009

SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

Sudah lama saya tidak menulis dalam blog ini, oleh sebab kesibukan tugas sebagai guru dan mempunyai tanggungjawab terhadap keluarga tercinta. Sepanjang bulan puasa,banyak perkara yang saya niatkan dalam hati dan menjadi azam, ada yang tercapai dan ada yang tidak. Alhamdulilah, sepanjang bulan puasa, belanjawan saya tidak terbabas seperti bulan-bulan yang lain. Waktu berbuka pun, jarang-jarang sekali kami sekeluarga pergi ke pasar Ramadan.Kalau pergi pun, saya agak berdisiplin ketika berbelanja. Bak kata pepatah, ikut hati mati, ikut rasa binasa,ikut mata lata.Maksudnya kalau ikut nafsu, padah akibatnya. Manakan tidaknya, waktu sebelum berbuka semua teringin nak rasa, hatta nampak air paip pun teringin tetapi apabila dah waktu berbuka, perut dah tak sanggup nak terima. Makan dua tiga jenis kuih dan minum air dah kenyang rasanya.Anak-anak pula tak banyak kerenahnya. Suami tercinta lagi senang. Katanya bulan puasa, bulan kita mengurangkan makan dan minum untuk mengenang si miskin yang tak mampu berbelanja apa-apa. Alhamdulilah, suami banyak mendidik kerohanian dalam diri saya.Mudahan -mudahan berkat mendengar kuliah agama darinya dapat saya menyampaikan kepada anak-anak didik sekalian. Apabila nak dekat menjelang syawal pula, memang niat dihati tak mahu beli apa-apa, tetapi terkenang cahaya mata yang ingin berbaju baharu, hati mengalah juga. Beli jugalah untuk mereka sepasang dua. Seronok ketika beli-belah di pasar raya yang bakal ditutup,harga yang ditawarkan memang teruja. Sangka dihati, harga yang ditawarkan memang berbaloi, rupa-rupanya apabila pulang ke kampung, dan pergi ke cawangan pasar raya tersebut, memang sah saya dan keluarga kena tipu. Harga yang ditawarkan di pasar raya di kampung saya jauh lebih murah. Alamak, dah nasib! Reda sahajalah untuk memujuk hati sendiri. Bab kuih raya pula, saya lebih gemar beli kerepek dan kacang kerana itulah yang jadi kegemaran tetamu di rumah saya tiap-tiap tahun. Kalau beli biskut raya, mesti tak laku. Biskut yang saya beli pun hanya yang jenis coklat sahaja, sebab jadi kegemaran anak-anak.
Ketika sedang menulis ini pun, loceng rumah tak henti- henti berbunyi kerana ramai tetamu cilik datang ke rumah nak beraya. Saya tahu mereka datang beraya bukan kerana hati yang ikhlas untuk beraya dan mengamalkan amalan ingin mengeratkan silaturahim tetapi untuk mengumpul duit raya. Saya sedih sangat kerana anak-anak yang comel ini tidak diberi ajaran akan kepentingan berhari raya dan ziarah -menziarahi sebagai perkara utama. Duit raya itu hanya aspek sampingan, jika tuan rumah nak beri kita terima tetapi jangan sampai meminta-minta. Ataupun duduk berjam-jam tak nak balik-balik sehingga tuan rumah, mula dah tak ikhlas untuk menjamu tetamu cilik mereka. Ada juga jiran-jiran yang langsung tak mahu buka pintu, sebaliknya mendiamkan diri dalam rumah, seolah-olah mereka tidak ada di rumah. Tiap kali tetamu cilik datang ke rumah, saya mesti beri nasihat kepada mereka terutama bab keselamatan, bimbang anak gadis yang comel jadi mangsa tuan rumah yang berhati binatang. Kes Nurin dan Sharlinie sentiasa saya sebutkan kepada mereka, agar mereka lebih berhati-hati, jangan terlampau suka-suka datang ke rumah insan yang mereka tidak kenali. Perkara ini betul-betul membingungkan saya kerana ibu bapa mereka seolah-olah tidak kesah, anak mereka berhari raya di rumah orang yang tak dikenali. Menyesal dahulu pendapatan, menyesal kemudian tak berguna.