Jika dilihat ibu bapa zaman sekarang ni..sangat prihatin dengan pendidikan anak-anak. Masing-masing berlumba cuba menjadikan anak-anak cemerlang akademik. Teruja melihat perkembangan ini. Pendek kata masing-masing ghairah dengan pencapaian keputusan peperiksaan anak-anak.Perbualan pun banyak berkisar dengan kehebatan akademik anak-anak. Ada yang mula membandingkan antara anak-anak rakan sekerja. Ibu bapa yang tak cemerlang akademik anak masing-masing rasa gelisah dan malu semacam. Tapi,jarang benar saya melihat ibu bapa yang berlumba-lumba khuatir melihat masalah sahsiah dan nilai-nilai murni anak-anak.Ramai yang tunggu jika dipanggil guru kalau anak bermasalah. Kenapa? Bukankah akhlak dan sahsiah anak-anak lagi penting. Jarang juga yang mengeluarkan soalan pertama kepada guru tentang sikap anak-anak di sekolah.Ramai ibu bapa yang percaya anak-anak telah dididik sempurna, tentu baik akhlak mereka.Tapi tidak salah sekiranya kita bertanya. Sepanjang bergelar guru juga,kebanyakan anak-anak didik sekarang ni kurang beradab terutama dalam hal menjaga adab bertutur dengan guru. Ramai yang menggunakan nama guru sahaja ketika berbual sesama rakan. Telah hilang kata panggilan Puan atau cikgu dihadapan. Contoh" Zamri datang tak hari ni?" Perkataan cikgu atau Encik Zamri telah hilang jika mereka bertutur tanpa kehadiran guru. Ramai juga yang berani melawan secara berhadapan dengan guru sama ada melalui pertuturan atau perbuatan. Ramai juga yang tidak mahu meminta maaf jika melakukan kesalahan.Pendek kata, adab dan nilai-nilai murni banyak yang telah sirna daripada anak-anak didik zaman ini.Jika diselidik kebanyakan anak-anak didik datang daripada keluarga berpendidikan, ibu bapa berkerjaya hebat juga ada. Tentu ibu bapa tidak dipanggil oleh guru jika faktor adab tidak dibuat oleh anak-anak, melainkan kebiadaban itu keterlaluan seperti memaki guru, atau melanggar peraturan sekolah. Tentu tidak guru maklumkan jika aspek adab seperti memanggil nama guru seperti saya nyatakan di atas. Kalau semua hendak dimaklumkan rasanya guru tidak akan mampu menghabiskan sukatan. Ramai ibu bapa yang tidak sedar kadang kala anak-anak mereka seolah-olah ada 2 personaliti yang berbeza.Sangat baik ketika bersama ibu bapa,tetapi di sekolah bersama rakan watak mereka bertukar dan berbeza. Justeru, ramai juga ibu bapa yang terlalu mempercayai bulat-bulat kata-kata anak mereka. Justeru,selidik dulu sahsiah dan akhlak anak-anak kita sebelum menyelidik perihal akademik anak-anak. Kecemerlangan akademik akan hadir juga kalau akhlak dan sahsiah anak-anak kita cemerlang.Percayalah....
Tuesday, June 5, 2012
Monday, June 4, 2012
Budi Bahasa
Apabila disebut perkataan budi bahasa,bahasa minda akan menggambarkan tingkah laku yang sopan, tutur kata yang lembut,dan tentunya kita mudah membayangkan insan yang sedemikian dalam hidup kita.Barang kali mungkin kita mudah membayangkan ibu, adik-beradik, guru, rakan-rakan,dan saudara-mara.Tentulah kerana mereka antara insan paling rapat dalam kehidupan kita.Persoalannya benarkah mereka antara contoh terbaik insan berbudi bahasa dalam kehidupan kita? Jika ya, alhamdulilah. Budi bahasa tidak boleh dilakonkan sepanjang hari.Kenapa? kalau dilakonkan pun lazim hanya seketika waktu kita menyedarinya tetapi sifat asal kita yang tiada berbudi bahasa akan keluar juga tatkala kita alpa dan lupa kalau bertahan lama pun,empunya diri akan terseksa batinnya.Justeru,budi bahasa sebenarnya banyak kaitannya dengan asuhan ibu bapa, amalan agama dan penerapan nilai murni diri yang sifatnya suka akan kebaikan. Pendek kata, kalau baik empunya diri, memang berakhlak mulia, baiklah juga budi bahasanya. Asuhan agama yang terbentuk dalam diri juga merupakan benteng mencegah berkelakuan tidak baik,kasar,suka menyakiti dan menggores hati insan lain, biadap dan dan pelbagai sifat buruk yang lain. Semakin kuat kita berpegang kepada adab dan nilai murni, tentu sifat baik akan terserlah jua. Bagi mereka yang berakhlak mulia tentu mudah kita mengenal sifat-sifatnya,antaranya tutur katanya sopan, tidak mementingkan diri, ramai yang suka dan senang bersahabat dengannya, dan sebagainya.Justeru, pilihan sebenarnya di tangan kita, ingin menjadi insan yang berbudi bahasa atau sebaliknya? Kalau kita suka insan lain berbudi bahasa, kenapa tidak kita juga memilihnya dan menerapkannya dalam kehidupan kita jua.Tidak susah sebenarnya,asalkan buka minda untuk berubah,insyaallah pintu rahmat dan kebaikan akan terbuka juga oleh Maha Pencipta. Ayuh, tunggu apa lagi?
Friday, April 6, 2012
Adab Ketika Bertutur

Limpahan daripada rahmat yang dikurniakan Ilahi,semua insan sempurna mampu berkata-kata.Setiap hari kita bertutur dan terus bertutur hingga kita bakal menemui yang Esa,barulah lidah kelu dan tidak mampu lagi berkata-kata.Justeru,entah berapa juta atau ratusan jutaan kata-kata yang kita keluarkan saban hari,minggu ke minggu, tahun ke tahun.Subahanaallah. Lantaran itu, agama Islam sering menekankan kepentingan mengamalkan perkataan yang baik-baik sahaja. Dalam budaya Melayu juga, sejak kecil lagi kita telah dididik oleh kedua-dua ibu bapa agar menuturkan kata-kata yang manis,tidak menyinggung perasaan insan lain yang mendengarnya.Tidak dinafikan, setiap tutur kata mencerminkan perilaku individu yang menuturkannya.Jarang benar,kita melihat orang yang berilmu dan beriman sewenang-wenangnya melontarkan kata-kata yang kesat dan kasar. Mereka begitu berhati-hati ketika mengeluarkan mutiara kata-kata daripada mulut mereka.Justeru, kita disarankan agar berfikir terlebih dahulu sebelum berkata-kata,kerana terlajak perahu boleh diundur,terlajak kata buruk padahnya. Benar juga kata pujangga,kata-kata yang baik,mampu melembutkan hati yang keras laksana batu. Ayuh,jangan berlengah, mulai sangat ini, kita wajar bijak menggunakan kata-kata yang baik. Sesungguhnya, sebahagian perkataan itu,ada yang lebih keras daripada batu,lebih tajam daripada tusukan jarum,lebih pahit daripada jadam, justeru gunakanlah perkataan yang baik-baik sahaja,agar tiada insan yang terluka dek kata-kata kita. Jika tidak mampu, diamlah sahaja.
Subscribe to:
Comments (Atom)

