skip to main |
skip to sidebar

Lazimnya fungsi lidah yang sering kita gunakan untuk merasa makanan. Menerusi lidah kita dapat membezakan rasa manis, masin, kelat, pahit, tawar dan sebagainya. Apabila pancaindera merasa ini digunakan, isyarat akan disampai kepada sistem otak yang menyatakan bahawa setiap hidangan yang kita jamah sama ada sesuai dengan selera mahupun tidak. Lantaran itu, kerana kecekapan sistem pancaindera ini berfungsi sepenuhnya, maka kita seharusnya berasa bersyukur akan nikmat ilahi ini. Tanpa lidah juga, kita pastinya tidak mampu bertutur. Sistem pertuturan juga ada hubung kaitnya dengan lidah. Perkataan lidah juga ada diguna pakai dalam peribahasa. Antaranya:
- Lidah air- Hujung air yang baru naik
- Lidah api- Hujung nyala api
- Lidah bengkok- Tidak Fasih
- Lidah bercabang- Munafik, hipokrit
- Lidah bercabang bagai biawak- Munafik, hipokrit
- Lidah berputar balik- Munafik, hipokrit
- Lidah biawak- Munafik, hipokrit
- Lidah buaya- Kuat makan
- Lidah Keling- Berputar belita apabila bercakap
- Lidah kelu- Tidak dapat bercakap
- Lidah Keras- Tidak fasih
- Lidah lembut- Bahasa yang sopan
- Lidah manis- Kata-kata yang mudah didengar orang
- Lidah masin- Permintaan yang makbul
- Lidahnya masin- Apa yang disebut, selalu menjadi
- Lidah Ombak- Hujung ombak yang di hadapan sekali
- Lidah Panjang- suka menyampaikan cerita
- Lidah Papan- Bahagian yang menyambungkan papan dengan papan
- Lidah Patah- Tidak fasih
- Lidah Pendeta-Kata-kata hikmat
- Lidah Pengarang- Ruangan editor
- Lidah perempuan itu ialah senjatanya yang tiada dibiarkannya berkarat- Perempuan yang pandai berkata-kata
- Lidah Serunai- Bahagian serunai yang mengeluarkan bunyi
- Lidah tajam-Kata-kata yang menyakitkan hati
- Lidah tak bertulang- Mudahnya berjanji
- Lidah terkalang- Tidak dapat bercakap oleh kerana terhutang budi
- Lidah tiada bertulang- Mudah berjanji
- Lidah tidak bertulang, salah petik jiwa hilang- Malang oleh kerana tidak pandai menjaga tutur kata
Banyak sungguh perkataan lidah yang digunakan dalam peribahasa. Jika tidak pentingnya lidah dalam kehidupan kita, mana mungkin orang dahulu kala mengaplikasi perkataan tersebut dalam peribahasa. Apa-apa pun setiap anugerah Ilahi harus kita syukuri dan gunakannya untuk kebaikan semua.

Mulut juga merupakan anugerah ilahi yang tidak ternilai harganya. Bayangkan sekiranya kita tidak mempunyai mulut. Wajah kita tentunya akan kelihatan aneh dan menakutkan. Mulut antara anggota yang penting demi menjalani kelangsungan hidup dengan sempurna. Lantaran itu,fungsi mulut yang paling utama ialah untuk menerima makanan untuk menikmati setiap hidangan. Pendek kata mulut penting dalam hidup kita. Tanpa mulut kita tidak akan mampu bertutur dan berkomunikasi dengan sempurna. Melalui mulut juga kita mampu menambah pahala mahupun dosa. Lazimnya kita sering menyalahgunakan fungsi mulut untuk tujuan yang tidak sepatutnya. Oleh yang demikian mari kita amati perkataan 'mulut' yang digunakan dalam peribahasa.
- Mulut bagai ekor ayam dihembus- Becok
- Mulut bajan boleh ditutup, mulut manusia tidak- Manusia tidak pandai menyimpan rahsia
- Mulut berbisa- Kata-kata yang menyakitkan hati
- Mulut berus- Tidak pandai menyimpan rahsia
- Mulut besar- Sombong
- Mulut bisa- Kata-kata yang menyakitkan hati
- Mulut bocor- Tidak pandai menyimpan rahsia
- Mulut busuk- Nafas berbau
- Mulut buyung dapat dipendam mulut orang bagaimana menyumbatnya- Tidak dapat mengawal daripada bercakap.
- Mulut disuap pisang,punggung dikait onak- Kata-kata manis yang berniat jahat.
- Mulut gatal- Tidak berhati-hati bercakap.
- Mulut hang lebih daripada gedembai- Kata-kata yang menyakitkan hati.
- Mulut hodoh- Mencarut
- Mulut kamu harimau kamu, mengerkah kepala kamu- Binasa oleh kata-kata
- Mulut Kapuk boleh ditutup- Manusia tidak pandai menyimpan rahsia
- Mulut kotor- Kata-kata keji dan lucah
- Mulut manis- Kata-kata yang lembut
- Mulut manis, hati berkait- Kata-kata yang manis tetapi niatnya jahat.
- Mulut manis jangan percaya, lepas daripada tangan jangan diharap- Jangan percaya orang yang manis kata-katanya.
- Mulut manis mematahkan tulang- Kata-kata yang lembut dapat melemahkan hati yang keras.
- Mulut murai- Becok
- Mulut rambang - Becok
- Mulut rampus- Memaki-maki
- Mulut satu, lidah bertopang- Lain yang diucapkan, lain dihati
- Mulut terlanjur, emas padahnya- kata-kata yang diucapkan mesti ditepati.
- Mulut terdorong,emas padahnya- Padah kalau mungkir janji
- Mulut tempayan boleh ditutup,mulut manusia bagaimana menutupnya- Tidak dapat dilarang seseorang itu daripada berkata-kata.
- Mulut tempaya- Tidak boleh menyimpan rahsia
- Mulut tajam- Kata-kata yang menyakitkan hati.
- Mulut sungai- Kuala
Aneh sungguh kebanyakan perkataan 'mulut' yang digunakan dalam peribahasa membawa maksud yang negatif. Mungkin ada benarnya, kerana peribahasa dicipta, dan diambil daripada pemerhatian terhadap keadaan sekeliling oleh masyarakat dahulu kala. Memang sifat manusia jarang menghargai pemberian Ilahi. Oleh itu, belajar menggunakan mulut untuk tujuan kebaikan kepada diri sendiri, lebih-lebih lagi untuk masyarakat seluruhnya. Benarlah kata pepatah kerana mulut badan binasa.