Wednesday, July 15, 2009

Yang Mana Satu Idaman Kalbu?

Teks yang belum digunakan dalam peperiksaan SPM.
( Setakat peperiksaan BM Julai 2009 )
KELOMPOK CERPEN ATAU DRAMA
CERPEN
1. Annyss Sophillea
2. Lambaian Malar Hijau
3. Virus Zel Untuk Abah
DRAMA
1. Serunai Malam
KELOMPOK PROSA KLASIK
1. Sabor
KELOMPOK PUISI ATAU SAJAK
SAJAK
1. Duhai Pentafsir
2. Di Ruang Gemanya
3. Anak Laut
4. Derita Pertama
5. Jalan jalan raya kotaku
PUISI
1. Seloka Pak Kaduk
2. Pantun Enam Kerat
3. Syair Kelebihan Ilmu
PERINGATAN :
1. Berdasarkan analisis soalan tahun 2001 hingga 2009 (J), hanya teks prosa klasik sahaja yang digunakan lebih daripada sekali. Teks bagi cerpen/drama dan sajak/puisi belum pernah digunakan lebih daripada sekali. Trend yang sama dijangka digunakan dalam soalan SPM November 2009.
2. Namun demikian pelajar dinasihati supaya mempelajari semua teks agar tidak kecewa sekiranya sesuatu KEJUTAN terjadi dalam peperiksaan hujung tahun ini.
3. Soalan 2(a), 2(b), 2(c) dan 2(d) sebenarnya tidak sukar untuk mereka yang memahami konsep penyoalan. Soalan memberi maksud rangkai kata, soalan konteks dan soalan KBKK boleh dijawab sekalipun calon tidak membaca teks penuh. Mereka mungkin menghadapi sedikit masalah untuk menjawab soalan komsas. Namun demikian bagi calon yang baik, misalnya nilai dalam petikan mudah diperoleh tanpa membaca teks penuh. Mereka hanya berhadapan masalah untuk membei nilai lain dalam teks.
4. Soalan pemahaman (2a hingga 2b) memperuntukkan markah yang besar iaitu 3.
5. Maka calon perlu bersungguh-sungguh untuk menjawabnya. Jangan terlalu difikirkan jawaban itu betul atau salah, logik atau tidak. Jawaban yang salah tidak akan ditolak markah. Maka persembahkan seberapa banyak idea dalam jawaban tetapi tidak mengabaikan pengurusan masa kerana masa dua jam setengah tidak terlalu lama sebenarnya.

Tuesday, July 14, 2009

Kata Majmuk Yang Dieja Bercantum

Ingat! Terdapat 15 kata majmuk yang sudah mantap penggunaannya dan dieja bercantum.

1. antarabangsa
2. bumiputera
3. kakitangan
4. olahraga
5. setiausaha
6. suruhanjaya
7. tanggungjawab
8. pesuruhjaya
9. beritahu
10. jawatankuasa
11. kerjasama
12. matahari
13. sukarela
14. tandatangan
15. warganegara

Monday, July 13, 2009

Tren shuttle selesakan perjalanan ke sekolah

BANGUN seawal pukul 4 pagi merupakan sesuatu yang biasa bagi Mohamad Hakim Hakimi, 13. Tetapi mengapa pelajar tingkatan satu ini perlu bangun begitu awal sedangkan sekolah sesi pagi hanya bermula jam 7.15 pagi?
Sebabnya, Mohamad Hakim perlu berada di perhentian kereta api Bukit Abu, Kuala Krai sebelum pukul 6 pagi untuk ke sekolah di Dabong, yang jaraknya 40 kilometer (km) dari situ.
Ketika rakan sebayanya yang tinggal di bandar masih diulit mimpi, pelajar Sekolah Menengah Dabong, Kelantan itu, bersama rakan-rakan yang lain terpaksa meredah gelap subuh dengan berjalan kaki antara dua hingga empat km untuk ke perhentian kereta api.
Seandainya terlewat sampai dan terlepas kereta api, maknanya mereka terpaksa ponteng sekolah pada hari itu.
Ketika sampai di perhentian itu, Mohamad Hakim dan rakan-rakannya yang lain sempat menunaikan solat Subuh. Ketika di dalam gerabak kereta api, dia sempat meneliti kerja sekolahnya.
Di sudut koc yang lain, cuaca dingin di dalam koc membuatkan ada pelajar yang sempat melelapkan mata sebelum sampai ke sekolah.
Hampir sejam kemudian, kereta api berhenti di stesen Dabong dan lebih 200 pelajar sekolah turun untuk ke sekolah-sekolah berhampiran.
Mungkin sukar untuk kita bayangkan pengorbanan pelajar sekolah yang tinggal di pedalaman Kelantan itu. Namun, bagi mereka itulah kehidupan sebenar yang dilalui sejak sekian lama.
Mereka tinggal di Kuala Bukit Abu, Temangan, Ulu Temiang dan Kampung Baru Sungai Mengkuang yang meniti alam persekolahan dengan penuh kepayahan dan ketabahan.
Kereta api merket
Kereta api dianggap sebagai nadi pengangkutan bagi mereka yang tinggal di kawasan pedalaman. Ia bukan sahaja untuk ke sekolah tetapi untuk keluar ke bandar terdekat seperti Kuala Krai dan Pasir Mas.
Faktor kelembapan kereta api bukan menjadi masalah bagi mereka kerana inilah satu-satunya pengangkutan yang mereka ada. Setiap hari gerabak atau koc kereta api akan penuh dengan penumpang termasuk pelajar sekolah.
Kereta api yang datang dari Tumpat seawal pukul 3 pagi itu seakan-akan tidak jemu membawa pelajar terbabit pada setiap hari dan kini kereta api yang dulunya dikenali sebagai kereta api merket (kereta api pasar) diberi nafas baru oleh pihak pengurusan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).
Menyelami kepayahan pelajar kerana kereta api sebelum ini tidak dilengkapi penghawa dingin dan tidak mempunyai sistem cahaya yang cerah di dalam koc, KTMB mengorak langkah menaik taraf kereta api sedia ada.
Idea untuk melengkapkan kereta api atau tren dengan penghawa dingin dan lampu yang mencukupi itu dicetuskan oleh Pengarah Urusan KTMB, Datuk Abdul Radzak Abdul Malek. Beliau mahu pelajar di pedalaman berada dalam keadaan selesa ketika menaikinya.
Naik taraf
"Pelajar sebelum ini terpaksa berpanas apatah lagi terpaksa berasak dengan para peniaga atau tok peraih.
"Saya telah mengarahkan supaya kereta api pasar ini dinaik taraf dan juga diwujudkan tren shuttle yang khusus bagi membawa pelajar pergi dan balik dari sekolah dengan selesa," kata Abdul Radzak ketika ditemui.
"Sebelum ini pelajar pulang dari sekolah dengan menaiki tren lain pada pukul 3.10 petang tetapi perkhidmatan tren terbaru itu akan bertolak dari Dabong pada pukul 2.10 petang iaitu awal kira-kira sejam masa menunggu berbanding sebelum ini," kata Abdul Radzak.
Mohamad Hakim merupakan antara pelajar yang begitu gembira apabila kereta api sedia ada itu dinaik taraf. Mereka tidak lagi mengeluh merasai bahang panas sepanjang perjalanan dan juga kini dia boleh menelaah pelajaran dalam keadaan selesa.
Sementara itu, Guru Penolong Kanan Hal Ehwal Murid Sekolah Menengah Dabong, Hazama Ismail berkata, pelajar sekarang boleh dikatakan beruntung kerana banyak kemudahan diberikan terutama kepada pelajar luar bandar seperti Dabong berbanding zaman persekolahannya dahulu.
Hazama yang yang berasal dari daerah Dabong berkata, beliau amat bersyukur dengan pengenalan tren baru oleh KTMB yang merupakan pengangkutan utama pelajar di pedalaman.
"Langkah ini patut dipuji kerana ia membantu pelajar pulang dari sekolah lebih awal. Lebih menggembirakan, pelajar tidak perlu lagi bersesak dengan tok peraih yang sememangnya menggunakan kereta api," katanya. - Bernama

Sumber: Kosmo online

Ayat Songsang VS Ayat pasif

Ayat songsang adalah ayat yang sebahagian atau keseluruhan predikat berada di hadapan binaan subjek. Perubahan kedudukan konsituen ini tidak melibatkan proses mempasifkan kata kerja transitif. Jadi ayat songsang tidak semestinya ayat pasif.
Sementara ayat pasif pula memang akan menyebabkan berlakunya perubahan konsituen dalam binaan predikat, iaitu seluruh atau sebahagian konsituen dalam binaan predikat akan berada di hadapan binaan subjek dengan berlakunya proses mempasifkan kata kerja transitif.
Cuba lihat ayat di bawah:
a. Emak menggoreng ikan.
ai. Ikan digoreng oleh emak
b. Ayah pergi memancing ikan semalam.
bi. Semalam ayah pergi memancing ikan.
Bagaimanapun boleh berlaku ayat songsang dengan ayat pasif tanpa mempasifkan kata kerja transitif. Contohnya boleh dilihat seperti :
a. Emak menggoreng ikan.
b. Ikan emak goreng.
Kesimpulannya, ayat songsang tak semestinya pasif tetapi ayat pasif mesti mempunyai struktur binaan songsang.
Sumber: Ajamsari.blogspot

Partikel 'Pun'

Terdapat 13 perkataan yang dieja bercantum dengan partikel "pun", iaitu
adapun, ataupun, andaipun, bagaimanapun, biarpun, kalaupun, kendatipun, lagipun, mahupun, meskipun, sekalipun, sungguhpun dan walaupun.

Kita boleh menggunakan Kaedah Neumonik untuk mengingat 13 perkataan `pun’ yang dieja secara bercantum dengan berdasarkan ayat ini, iaitu Ayah anggap/ anak bagai berlian/ kalau kita latih mereka/ wajar/ mereka sukses selalu.

adapun
Ayah
Ataupun
Anggap
Andaipun
Anak
Bagaimanapun
Bagai
Biarpun
Berlian
Kalaupun
Kalau
Kendatipun
Kita
Lagipun
Latih
Meskipun
Mereka
Walaupun
Wajar
Mahupun
Mereka
Sungguhpun
Sukses
Sekalipun
selalu

( Dicipta oleh: Wan Azlida bt. Wan Abdul Aziz, SMK Tuanku Abdul Rahman, Batu Arang, Selangor.)

Kata `pun’ yang bermaksud juga hendaklah dieja secara terpisah seperti telah pun, sudah pun, dan sebagainya.
sumber: Cikgu Ghalib-Munsyi Dewan

AWAS!

Salah sebut lain maknanya.

Bunyi e pepet Bunyi e taling

1. bela ( pelihara ) bela ( mempertahankan )
2. lepak ( terlalu putih ) lepak ( membuang masa )
3. pelekat ( gam ) pelekat ( sejenis kain sarung )
4. pesak ( sekam ) pesak ( bahagian pada baju )
5. reda ( mula kurang ) reda ( rela )
6. rendang ( sejenis makanan ) rendang ( rimbun )
7. sepah ( hampas ) sepah ( berselerak )
8. perang ( pertempuran ) perang ( warna kekuning-kuningan )

Demerit oh Demerit !

Tak disangka pelaksanaan sistem demerit yang baru dijalankan di sekolahku menimbulkan suasana baru kepada semua anak didikku. Manakan tidaknya, tiap-tiap hari ada sahaja murid-murid yang datang ke bilik disiplin untuk menyemak markah demerit mereka. Yang pemalu, yang pendiam,yang baik pun tidak ketinggalan hendak menyemak markah demerit mereka. Kelakar pulak rasanya.Yang tidak memakai tanda nama sudah mula menempah. Yang rambut panjang sudah mula merelakan rambut mereka dipotong.Ramai anak murid yang kata seronok dapat cikgu potong rambut kerana dapat jimat rm 15. Ada pula yang kata "style" cikgu potong cantiklah.Yang kelakarnya ada ibu bapa yang datang mengadu ,"cikgu anak saya nak cikgu yang potong rambut dia, dapat berkat." katanya. Tetapi yang jelasnya ramai anak murid yang sudah mula risau, bimbang markah demerit mereka akan bertambah. "Cikgu, macam mana hendak dapat markah merit pula?" ramai yang sudah mula bertanya. "Senang sungguh, hari-hari awak semua mesti jadi murid yang baik dan patuh kepada peraturan sekolah," Itulah kalimat yang cikgu Shima, Ketua Disiplin di sekolahku wara-warakan setiap pagi pada waktu perhimpunan. Semoga dengan pelaksanaan sistem ini akan menampakkan hasilnya.

4 AMANAH, CIKGU SAYANG KAMU

Awal tahun ini, cikgu ditugaskan untuk menjadi guru kelas 4 Amanah. Cikgu terima tugas tersebut dengan rela hati walaupun cikgu takut tidak mampu menjadi guru kelas yang terbaik kerana memikul tanggungjawab yang besar sebagai guru disiplin. Tetapi cikgu yakin jika kita sentiasa mengganggap setiap tugas yang diberi merupakan amanah, kita pasti boleh melakukannya. Cikgu amat gembira bersama kalian semua. Setiap teguran dan nasihat yang cikgu beri kalian sentiasa mengikutinya. Cikgu amat berbangga kerana dapat mendidik anak-anak murid seperti kalian. TAHNIAH 4 AMANAH kerana setiap kali pada waktu perhimpunan, nama kelas kita pasti diumumkan sebagai pemenang bagi pertandingan keceriaan kelas. Cikgu lebih berbangga sekiranya prestasi akademik kalian akan terus melonjak.Terus berusaha sehingga tiada seorang pun di dalam kelas cikgu yang gagal dalam apa-apa mata pelajaran. Shazrin, Aisyairah terus berusaha menjadi ketua kelas dan penolong yang berdedikasi. Terima Kasih semua murid kelas 4 Amanah kerana telah memberi kerjasama kepada cikgu.

Sistem Panggilan Waktu

Keliru! ramai yang salah menggunakan sistem panggilan waktu. Waktu tengah hari dikatakan petang, waktu tengah malam dikatakan pagi. Jika tidak mahu silap lagi rujuklah sistem panggilan waktu berikut.

1.00a.m. hingga 11.59 a.m. = pagi
12.00 a.m. hingga 1.59 p.m. = tengah hari
2.00 p.m. hingga 6.59 p.m. = petang
7.00 p.m. hingga 11.59 p.m. = malam
12.00 p.m. hingga 12.59 a.m. = tengah malam

Semoga anda semua tidak terkeliru lagi dengan sistem panggilan waktu.

Negara Kurang Guru?

Oleh Suliati Asri suliati@hmetro.com.my
BAGI memenuhi keperluan yang semakin mendesak, kerajaan akan menambah jumlah pengambilan guru ke Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) dari semasa ke semasa.Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, berkata keputusan menambah pengambilan guru itu diambil berikutan keperluan guru semakin mendesak terutama di kawasan bandar yang mengalami kadar pertumbuhan pesat penduduk.Namun, persoalannya, adakah benar kita masih mengalami kekurangan guru walaupun setiap tahun, institut pengajian tinggi awam (IPTA) dan institut pendidikan guru (IPG) melakukan pengambilan baru. Apatah lagi, kerjaya sebagai pendidik memang popular di negara ini.Justeru, ke mana hilangnya bakal guru yang ditawarkan mengikuti program pendidikan IPTA dan IPG itu? Adakah mereka berkemungkinan 'kecundang' sebelum layak untuk menjadi pendidik?Timbalan Naib Canselor, Akademik dan Antarabangsa Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Profesor Dr Zakariah Kasa, berkata sememangnya negara masih mengalami masalah kekurangan guru walaupun setiap tahun pengambilan pelajar di IPTA atau IPG dilakukan. Menurutnya, pengambilan pelajar dalam bidang perguruan berdasarkan unjuran yang dikeluarkan Kementerian Pelajaran."Untuk bakal guru di sekolah menengah, mengikut unjuran kementerian, seramai 4,500 pelajar akan mengisi kekosongan di seluruh IPTA tahun ini."Daripada jumlah itu, UPSI akan menerima 2,500 pelajar dan semuanya akan mengisi kekosongan jawatan guru untuk empat tahun akan datang," katanya.Jika dilihat bilangan pelajar yang diperlukan untuk mengisi jawatan guru sekolah menengah empat tahun lagi, jelas sangat mencukupi dan masalah kekurangan guru seharusnya tidak berlaku.Namun, menurut Zakariah, masalah kekurangan guru tetap dihadapi disebabkan tidak punya calon yang sesuai dan benar-benar boleh menjadi guru yang diinginkan."Ketiadaan calon ini bukan disebabkan ketiadaan pelajar yang menghantar permohonan, namun ia disebabkan kegagalan mereka melepasi tahap saringan ditetapkan."Contohnya, mereka yang ditawarkan untuk mengikuti program perguruan di UPSI perlu lulus Ujian Inventori Pemilihan Pendidik Malaysia (MEdSI) sebelum sesi temu duga khas."Kegagalan mereka di ujian MEdSI itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan dan calon yang diunjurkan kementerian bagi mengisi kekosongan jawatan guru empat tahun akan datang tidak menepati apa yang diinginkan," katanya.Kegagalan calon melepasi saringan itu secara tidak langsung mengurangkan jumlah pengambilan pelajar diperlukan."Selain itu, selepas menamatkan pengajian dan memperoleh ijazah, mereka secara automatik di bawah seliaan kementerian dan sekali lagi perlu lulus Ujian Inventori Sahsiah Keguruan (Insak) sebelum dihantar ke mana-mana sekolah."Andai ujian itu gagal, mereka tidak akan bergelar pendidik dan ia menjadikan jumlah guru yang dikehendaki tidak tercapai serta menyebabkan masalah guru berkurangan," katanya.Faktor kekurangan guru disebabkan graduan memilih subjek yang akan dikendalikan mereka tidak benar sama sekali. Ini kerana, sepanjang mengikuti pembelajaran, mereka diberi dua subjek mengikut kelayakan dan kementerian tidak akan mengarahkan mereka mengajar subjek yang bukan dalam bidang kepakaran mereka.Zakariah berkata, negara mengalami masalah kekurangan guru juga disebabkan sikap pemohon yang sambil lewa dalam pemilihan kursus."Masalah yang sering kita hadapi bagi pelajar lepasan IPTA yang mahu mengambil Diploma Perguruan di UPSI ini adalah kesilapan memilih kursus."Sebagai contoh, di IPTA, pengkhususan yang diambilnya adalah Sains Pertanian dan apabila memohon, dia mahu mengambil subjek Sejarah. Apabila masalah ini berlaku, kita tidak akan memproses permohonannya," katanya.Menurutnya, masalah kekurangan guru itu juga berpunca daripada ketidaksesuaian calon untuk mengajar sesuatu mata pelajaran. Kuota pengambilan guru untuk subjek agama misalnya, cukup sukar dipenuhi disebabkan calon tidak memenuhi kriteria kelayakan."Bagi mengelakkan masalah kekurangan guru daripada berterusan, pemohon perlu memilih subjek yang diingini berdasarkan kelayakan masing-masing di samping minat terhadap subjek pengajaran bagi mengelakkan mereka sendiri berasa tertekan apabila bergelar guru kelak," katanya. Menariknya, menurut Zakariah, masalah guru yang berhenti selepas dihantar ke kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang ketara. Ini kerana, guru berkenaan sudah diberi pendedahan awal mengenai bidang pengajaran di pedalaman menerusi latihan persediaan.Di UPSI misalnya, calon guru diberi pendedahan dengan dihantar ke kawasan pedalaman terlebih dulu bagi membiasakan mereka dengan kawasan terbabit sebelum mula mengajar. Justeru, masalah keengganan mengajar di kawasan pedalaman bukanlah sesuatu yang membebankan calon guru berkenaan sehingga rela melepaskan jawatan.

Ingin Gembira dan Bahagia ?

Hidup kita ini sebenarnya terlalu singkat. Pergunakan waktu yang singkat untuk menjadi seorang insan yang berguna dan berjaya.Tahukah anda terdapat pelbagai cara untuk kita menikmati hidup dengan penuh kebahagiaan ? Bagaimana?

1. Sentiasa berusaha mendekati kepada yang Esa dan jauhi larangan-Nya.
2. Jaga hati supaya tidak terkena penyakit hati seperti hasad, tamak, angkuh dll.
3. Sentiasa berfikiran positif dan tanamkan dalam minda bahawa kita ingin untuk menjadi yang terbaik.
4. Sentiasa mengambil iktibar daripada kesilapan yang lalu dan jadikannya sebagai pedoman.
5. Sentiasa bermuhasabah tentang diri.
6. Menjadi insan yang mudah gembira jika menerima khabar kejayaan insan lain dan mengganggap kejayaan itu adalah kejayaan buat semua dan kita juga akan berjaya sepertinya.
7. Sentiasa berbuat baik kepada setiap insan tanpa mengira pangkat dan darjat.
8. Berbuat sesuatu dengan niat yang ikhlas tanpa mengharapkan balasan.
9. Peruntukkan sebanyak masa untuk meningkatkan potensi diri sehingga tidak punya masa untuk mengkritik insan lain.
10. Jika terlihat kelemahan insan lain, segera beristighfar dan elakkan mengikuti sifat tersebut.
Percayalah ............ jika kita ikuti petua tersebut, hati kita akan lebih tenang dan akan mudah gembira.